Program Anak Angkat Perkukuh Perpaduan Belia Pelbagai Kaum dan Agama
MUKAH: Program Anak Angkat yang dilaksanakan sempena Program Bakti Belia MADANI Peringkat Sarawak 2026 menjadi platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan belia pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri pengalaman hidup bersama masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya, adat resam dan cara hidup.
“Kita meletakkan objektif program ini untuk memberi pengalaman kepada peserta merasai sendiri gaya hidup masyarakat di Mukah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
“Mungkin adat dan budaya berbeza, begitu juga dengan aktiviti harian, namun kita tetap dapat hidup di bawah satu bumbung perpaduan.
"Program seperti ini penting untuk terus memperkasa dan memperkukuhkan semangat tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Bakti Belia MADANI Peringkat Sarawak 2026 serta Penyerahan Kembali Anak Angkat di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Laut, pada Ahad.
Royston turut memaklumkan bahawa terdapat peserta yang datang dari Semenanjung Malaysia dan ditempatkan bersama keluarga angkat sepanjang program berlangsung.
Ujarnya, pengalaman tersebut membolehkan para peserta mengenali dengan lebih dekat budaya serta kehidupan masyarakat tempatan, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara belia dari pelbagai negeri.
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu menghimpunkan belia dari seluruh Sarawak bagi mengikuti pelbagai aktiviti berteraskan kepimpinan, kesukarelawanan, kemasyarakatan dan pembangunan sahsiah.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, Setiausaha Agung Saberkas Negeri Sarawak Iszuan Haroni dan Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah Bonnie Manau Michael American.-EDISI UKAS