Penyerahan Cek Simbolik Tandai Penukaran Status Pelabuhan Bintulu
BINTULU: Penyerahan cek simbolik oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kemuncak Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu yang berlangsung di Auditorium, Aras 1, Menara Kidurong, Lembaga Pelabuhan Bintulu, hari ini.
Majlis bersejarah itu menandakan penyempurnaan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu yang dilihat mampu memperkukuh peranan pelabuhan berkenaan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sarawak dan negara.
Terdahulu, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Premier Sarawak menghadiri lawatan ke Anjung Tinjau sebelum mengikuti tayangan montaj khas yang memaparkan perjalanan serta kepentingan strategik Pelabuhan Bintulu kepada pembangunan negeri.
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Premier Sarawak dan ucaptama Perdana Menteri yang antara lain menyentuh mengenai kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
Turut berlangsung pertukaran dokumen Perjanjian Penyempurnaan (Completion Agreement) dan Perjanjian Tiga Pihak (Tripartite Agreement) sebelum penyerahan cek simbolik disempurnakan.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, menteri-menteri Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua jabatan serta ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Carolyn Utih
Jurugambar: Mohamad Rais & Jemat Marin