Masyarakat Dayak Perlu Terus Peraga Pakaian Tradisional
LUNDU: Masyarakat Dayak diseru agar terus memperagakan pakaian tradisional sebagai usaha memelihara dan mengekalkan warisan budaya yang menjadi identiti serta kebanggaan masyarakat untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pakaian tradisional bukan sekadar lambang kebudayaan, malah mencerminkan jati diri serta sejarah masyarakat Dayak yang perlu terus dipertahankan.
"Sambutan Gawai bukan sekadar perayaan tahunan, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan, kesepakatan sekali gus memelihara adat dan budaya masyarakat Dayak," katanya.
Dalam pada itu, Billy memberitahu, kawasan Opar kini sedang menikmati pembangunan yang pesat dalam tempoh lebih empat tahun kebelakangan ini dan usaha akan terus dipergiat bagi memastikan tiada kampung yang tercicir daripada arus pembangunan.
Beliau menekankan kepentingan kehadiran ketua kaum dalam mesyuarat dan perbincangan pembangunan bagi memastikan segala permohonan serta permasalahan penduduk dapat disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
Pada majlis tersebut, Billy turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 yang melibatkan RM5,000 masing-masing kepada Biro Wanita Kampung Paon, Biro Belia Kampung Paon dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paon.
Selain itu, Billy turut memaklumkan cadangan menaik taraf kawasan tar sekeliling dewan di bawah projek Agensi Pembangunan Wilayah Greater Kuching (GKCDA) dengan anggaran kos RM200,000 yang akan dibawa ke mesyuarat berkaitan untuk pertimbangan. -EDISI UKAS