Sistem Paip Air Graviti RM1.5 Juta Tingkat Kemudahan Bekalan Air Penduduk Kendaie
LUNDU: Projek Naiktaraf Sistem Paip Air Graviti Kampung Kendaie, kawasan Bukit Batu dan Kampung Pasir Hilir bernilai hampir RM1.5 juta bakal meningkatkan kemudahan bekalan air di kampung tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penyerahan projek yang telah siap dilaksanakan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan penduduk menikmati kemudahan bekalan air yang lebih baik dan selesa.
"Projek tersebut melibatkan pemasangan paip HDPE sepanjang kira-kira 30 kilometer, pembinaan dua tangki simpanan serta dam pengambilan air bagi memberi manfaat kepada 170 buah rumah di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Naiktaraf Sistem Paip Air Graviti Kampung Kendaie yang diadakan serentak dengan Program Ngalayakng Dautn Bonos, di Kampung Kendaie pada Sabtu.
Tambahnya, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan di kawasan DUN Opar termasuk pelaksanaan pelbagai projek baharu demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Billy memaklumkan, usaha membawa bekalan air terawat ke kawasan Zon Biawak serta projek menaik taraf Jalan Kendaie-Sedaing yang dijangka memasuki proses tender pada September depan antara agenda pembangunan yang sedang diberi perhatian.
Dalam pada itu, Program Ngalayakng Dautn Bonos yang melibatkan penduduk Kampung Kendaie, Kampung Pasir Tengah dan Kampung Pasir Hilir turut menjadi platform memperkukuh perpaduan serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat. -EDISI UKAS