Kerajaan Sarawak Sempurna Bayaran RM1.8 Bilion, Pelabuhan Bintulu Sah Milik Sarawak
BINTULU: Kerajaan Sarawak hari ini menyempurnakan bayaran berjumlah RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan menerusi penyerahan cek simbolik sempena pemeteraian Perjanjian Penyempurnaan atau Completion Agreement sekali gus menandakan detik bersejarah penukaran status Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan negeri.
Penyerahan cek simbolik oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kemuncak Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu itu.
Premier Sarawak berkata, majlis berkenaan menandakan penyempurnaan satu lagi langkah penting dalam proses pengambilalihan pelabuhan strategik tersebut selepas melalui pelbagai rundingan dan persiapan yang teliti antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Melalui pemeteraian Perjanjian Penyempurnaan dan penyerahan cek berjumlah RM1.8 bilion, kita menyempurnakan satu lagi langkah penting dalam penukaran status Pelabuhan Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis berkenaan yang turut disaksikan Perdana Menteri serta barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Majlis bersejarah itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Pelabuhan Bintulu sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Sarawak serta meningkatkan keupayaan negeri dalam merancang pembangunan sektor maritim, perdagangan dan logistik secara lebih strategik.
Terdahulu, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Premier Sarawak menghadiri lawatan ke Anjung Tinjau sebelum mengikuti tayangan montaj khas yang memaparkan perjalanan serta kepentingan strategik Pelabuhan Bintulu kepada pembangunan negeri.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Dato Srri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-menteri Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS