TEGAS Buka Permohonan Program Unreal Engine for Games 2026
KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) membuka permohonan bagi Program Unreal Engine for Games 2026 bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang pembangunan permainan digital dan teknologi interaktif menerusi latihan intensif berasaskan platform Unreal Engine 5.
Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan TEGAS dalam memperkasa ekosistem industri kreatif digital serta membangunkan modal insan berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak.
“Program ini mencerminkan komitmen kami dalam memacu inovasi industri kreatif di Sarawak.
“Melalui pembangunan kemahiran Unreal Engine bertaraf global, kami bukan sahaja menyediakan bakat tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, malah memperkasakan mereka menjadi pencipta pekerjaan pada masa hadapan yang mampu menubuhkan studio tempatan serta membangunkan harta intelek (IP) sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Menurut beliau, inisiatif tersebut turut menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) melalui penekanan terhadap pembangunan modal insan, pendidikan dan inovasi digital.
Katanya, program itu juga mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pembangunan bakat teknologi interaktif di rantau ini, selain menyediakan laluan praktikal kepada bakat kreatif tempatan untuk berkembang daripada pengguna kandungan digital kepada pencipta teknologi dan usahawan dalam industri permainan global.
Program yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 14 Ogos 2026 di TEGAS Digital Village (TDV), Kuching itu dilaksanakan dengan kerjasama EFXCO Academy yang diiktiraf sebagai Unreal Authorized Training Center 2026 dan menyasarkan penyertaan 20 peserta dari seluruh Sarawak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EFXCO Academy, Hussin Khan berkata pihaknya berbesar hati meneruskan kerjasama strategik bersama TEGAS dalam usaha memperkasa bakat kreatif tempatan menerusi latihan bertaraf antarabangsa.
“Kami amat teruja untuk meneruskan kerjasama erat dengan TEGAS menerusi inisiatif ini.
“Dengan pengiktirafan EFXCO Academy sebagai Unreal Authorized Training Center bagi tahun 2026, kami bersedia membawa latihan bertaraf dunia ke Kuching.
“Mekanik permainan dan penceritaan masa nyata merupakan komponen penting dalam industri digital imersif masa kini, manakala penggunaan Blueprint Visual Scripting membolehkan peserta merealisasikan idea kreatif mereka tanpa memerlukan kemahiran pengaturcaraan yang kompleks,” ujarnya.
Sepanjang program tersebut, peserta akan didedahkan kepada pelbagai aspek pembangunan permainan digital termasuk reka bentuk aras interaktif, kesan visual, kecerdasan buatan (AI), pembangunan antaramuka pengguna serta penghasilan projek permainan seram 3D yang boleh dimainkan.
Penyertaan adalah terhad dan keutamaan akan diberikan kepada individu daripada golongan kurang berpeluang serta mereka yang berdepan kekangan kewangan.
Peserta yang berjaya menamatkan kursus akan menerima sijil penyertaan rasmi yang diiktiraf oleh komuniti global Unreal Engine.-EDISI UKAS