Sarawak Kenal Pasti Bangunan Di Pontianak Untuk Pejabat Perdagangan dan Pelancongan
BAU: Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti sebuah bangunan di Pontianak, Kalimantan Barat untuk dijadikan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak yang bakal berperanan sebagai hab penghubung ekonomi serta perdagangan antara Sarawak dan wilayah berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pejabat tersebut akan dibangunkan mengikut model yang sama seperti Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak yang kini beroperasi di Singapura dan Brunei Darussalam.
“Kita telah mengenalpasti satu bangunan di Pontianak untuk menjadi pejabat kepada Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak seperti yang kita bangunkan di Singapura dan Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Modelnya sama dan kita akan menempatkan pegawai serta kakitangan di situ.
“Oleh sebab ada kemudahan tersebut maka ia boleh menjadi hub perhubungan di antara kita, Sarawak dengan Kalimantan Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bidayuh Cultural Centre Bau (BCCB) serta Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN Tasik Biru di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, perkembangan hubungan perdagangan dan sektor penjagaan kesihatan antara Sarawak dan Kalimantan Barat yang semakin meningkat mewujudkan keperluan kepada kemudahan sokongan yang lebih tersusun bagi memudahkan urusan kedua-dua pihak.
Sehubungan itu jelasnya, Sarawak turut mempertimbangkan cadangan penempatan kemudahan perbankan di Pontianak sekiranya hubungan perdagangan antara kedua-dua wilayah terus berkembang.
“Kita akan meminta Affin Bank mempertimbangkan untuk membuka cawangan di sana.
“Ini akan memberikan kemudahan kepada komuniti perniagaan untuk berhubungan antara Kalimantan Barat dan Sarawak serta warga Kalimantan Barat yang mempunyai perniagaan di Sarawak,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Dewan Perniagaan Indonesia telah menghubungi Sarawak bagi membincangkan cadangan penubuhan Borneo Chamber of Commerce.
Menurut beliau, cadangan tersebut merupakan susulan lawatan rasminya ke Jakarta sebelum ini dan wakil Dewan Perniagaan Indonesia dijangka berkunjung ke Sarawak dalam masa terdekat bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara berkenaan.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr Jerip Susil, ADUN Serembu, Dato Miro Simuh, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu lain.-EDISI UKAS