KUCHING: Kerajaan Sarawak kekal komited memperkasa akses kepada perumahan mampu milik menerusi pelaksanaan pelbagai program yang bukan sahaja menyediakan kediaman berkualiti, malah menjamin kesejahteraan dan kestabilan hidup rakyat, khususnya golongan B40 serta isi rumah berpendapatan rendah.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, penyediaan perumahan tidak seharusnya dilihat sebagai pembinaan struktur fizikal semata-mata, sebaliknya merupakan usaha membangunkan komuniti yang selamat, inklusif dan berdaya tahan.
Katanya, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) terus memainkan peranan strategik dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menyediakan perumahan berkualiti, mampu milik dan mampan demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Antara inisiatif yang terus diberi penekanan ialah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial dengan menyediakan kediaman sewa mampu milik kepada keluarga yang layak, sekali gus membantu mereka mencapai kestabilan kewangan dan meningkatkan kualiti kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee pada Majlis Ngiling Bidai HDC 2026 di Dewan Rafflesia, Wisma Sultan Tengah, pada Selasa.
Seiring peningkatan permintaan terhadap perumahan awam, katanya, semakan penyewaan dilaksanakan secara berkala di semua skim PPR yang diuruskan HDC di seluruh Sarawak bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Penilaian dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk tempoh penyewaan, pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah, rekod pembayaran serta pematuhan syarat penyewaan, di samping mengambil kira faktor kebajikan secara kes demi kes.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengurus sumber perumahan awam secara adil, telus dan berhemah agar lebih ramai rakyat yang memerlukan dapat menikmati manfaatnya,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau berkata Sarawak terus menunjukkan ketahanan dan keyakinan dalam mendepani pelbagai cabaran global termasuk ketidaktentuan ekonomi serta perubahan iklim melalui kemajuan yang dicapai dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan perumahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada HDC, Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd. serta Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi (KKSR) atas komitmen mereka dalam menjayakan Majlis Ngiling Bidai HDC 2026 sebelum merasmikan program tersebut.
Mengulas mengenai sambutan Ngiling Bidai, beliau berkata majlis tersebut bukan sekadar menandakan berakhirnya perayaan Gawai Dayak, malah menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Katanya, keharmonian yang dikecapi hari ini merupakan hasil kepercayaan dan rasa hormat yang telah lama menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan negeri.
“Dalam kepelbagaian yang kita miliki, terletaknya kekuatan Sarawak. Nilai perpaduan ini perlu terus dipelihara sebagai aset paling berharga dalam memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Abdul Yakub Arbi, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Fathi Hambali, Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd. Awang Irwan Awang Shawal, Tuai Gawai David Gawan serta kakitangan HDC dan Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd.- EDISI UKAS