SK Puruh Karu Berwajah Baharu Selepas Projek Naik Taraf RM2 Juta Siap Sepenuhnya
PADAWAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Puruh Karu kini tampil dengan wajah baharu selepas projek menaik taraf bangunan sekolah tersebut bernilai RM2 juta di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) berjaya disiapkan sepenuhnya, sekali gus memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar.
Majlis penyerahan projek yang berlangsung di perkarangan sekolah pada Isnin menandakan satu lagi kejayaan usaha kerajaan dalam memperkasa infrastruktur pendidikan menerusi penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih moden, selesa dan kondusif untuk warga sekolah.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu bermula pada 5 Mei 2025 dan siap sepenuhnya pada 18 Jun 2026 mengikut jadual yang ditetapkan, dengan Patong Enterprise bertindak sebagai kontraktor pelaksana.
Naik taraf tersebut melibatkan pembinaan bangunan baharu serta kemudahan dewan sekolah, di samping penyediaan fasiliti pembelajaran digital yang lebih moden bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan serta memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21.
Antara pegawai yang hadir mewakili JKR ialah Superintending Officer merangkap Executive Engineer, Mohd Shukri Salleh, bersama pegawai teknikal Junius Samuel dan Amirrudin Mohamad.
Turut hadir mewakili GKCDA ialah Amanda Myra Dickson dan Ozzy Betrice Suntek, manakala Pusat Khidmat N.19 Mambong diwakili oleh Koordinator GKCDA, James Sinjeng.
Pihak sekolah pula diwakili oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Agnes Juhan Gurak serta Emmalin Jorai, manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan diwakili oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Winston Dominic Ritay.
Dengan siapnya projek ini, SK Puruh Karu kini bukan sahaja memiliki kemudahan fizikal yang lebih baik, malah mampu menyokong pembelajaran yang lebih berkualiti selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.-EDISI UKAS