Program Inspire i-Talent Cungkil Bakat Baharu Atlet Para Sarawak
MUKAH: Program Inspire i-Talent Peringkat Bahagian Mukah 2026 menjadi platform penting dalam usaha mencungkil dan mengenal pasti bakat baharu dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berpotensi mewakili Sarawak dalam sukan para pada masa hadapan.
Seramai 38 peserta menyertai program yang berlangsung di Dewan Tertutup SSC Mukah pada Isnin, melibatkan pelbagai kategori ketidakupayaan dan latar belakang peserta dari seluruh Bahagian Mukah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang hadir memberikan sokongan kepada para peserta berkata, setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri dan kekurangan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan.
“Kekurangan bukan penghalang untuk berjaya, malah boleh menjadi kelebihan jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
“Setiap individu mempunyai peluang dan ruang untuk mencapai kejayaan, justeru rebutlah peluang yang disediakan hari ini untuk mengembangkan potensi diri,” katanya.
Beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus menyokong pembangunan sukan para di kawasan Mukah serta membantu atlet-atlet berpotensi mengikut kemampuan yang ada.
Sementara itu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah, Mohammad Arbi Rosli berkata program tersebut merupakan platform pencarian bakat bagi mengenal pasti peserta yang sesuai diserap ke dalam acara sukan tertentu untuk mewakili Sarawak.
Menurut beliau, panel juri yang terdiri daripada jurulatih dan pegawai sukan para akan menilai kesesuaian fizikal, kebolehan serta potensi setiap peserta sebelum mereka disyorkan menyertai acara sukan yang bersesuaian.
“Program ini membuka peluang kepada golongan OKU untuk mengembangkan bakat dalam bidang sukan dan seterusnya berpeluang mewakili negeri pada masa akan datang,” jelasnya.-EDISI UKAS