Majlis Tilawah Al-Quran Bahagian Sri Aman Semarak Syiar Islam dan Perpaduan Ummah
SRI AMAN: Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sri Aman Tahun 1448H/2026M berlangsung dengan jayanya di Dewan Suarah Sri Aman dalam suasana penuh keberkatan, penghayatan dan semangat perpaduan, sekali gus memperkukuh syiar Islam dalam kalangan masyarakat.
Majlis penangguhan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor pada Isnin.
Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa tema “Ummah Maju Makmur” amat bertepatan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bukan sahaja maju dari aspek pembangunan, malah kukuh dari segi akhlak, ilmu pengetahuan serta nilai kehidupan berteraskan ajaran Islam.
Menurut beliau, kemajuan sebenar tidak hanya diukur melalui pencapaian material semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada keupayaan masyarakat untuk hidup secara harmoni, beradab dan berpandukan al-Quran sebagai asas kehidupan, sambil mengaitkan sambutan Tahun Baharu Hijrah 1448H dengan keperluan memperkukuh perpaduan serta melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
“Hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi berpindah kepada keadaan yang lebih baik melalui kekuatan iman, kesatuan dan kesediaan memperbaiki diri,” katanya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk kepada institusi berautoriti dalam urusan agama bagi memastikan keharmonian dan kesatuan masyarakat terus terpelihara.
Majlis Tilawah Al-Quran kali ini menyaksikan penyertaan seramai enam qari dan empat qariah, membuktikan komitmen masyarakat dalam memartabatkan al-Quran serta memperkukuh penghayatan terhadap ajarannya.
Bagi kategori Qari, Masazizul Suhaili muncul juara dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil dan piala, diikuti Ahmad Alwi Kipli di tempat kedua dan Awang Abdul Shukri Awang Boni di tempat ketiga.
Manakala penerima saguhati ialah Ramli Salleh, Muhamad Hakimi Shahrin dan Awang Sahpri Awang Halil.
Bagi kategori Qariah pula, johan disandang oleh Dayang Nur Afira Abg Mohammad yang turut menerima wang tunai RM1,000 berserta sijil dan piala, diikuti Sharifah Rohana Wan Zain dan tempat ketiga dimenangi oleh Rabiah Kinchong manakala penerima saguhati ialah Noor Nazili Binti Jimi.
Selain itu, Masazizul Suhaili dinobatkan sebagai johan keseluruhan selepas memperoleh markah tertinggi iaitu 81 peratus.
Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sri Aman ini diharap akan terus menjadi platform penting dalam menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran, di samping melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan bersatu padu demi kemajuan serta kemakmuran bersama.-EDISI UKAS