Sarawak Agrofest 2026 Pacu Transformasi Agromakanan, Perkukuh Sekuriti Makanan
KUCHING: Penganjuran Sarawak Agrofest 2026 (SAF 2026) dilihat sebagai platform strategik dalam memperkasa transformasi sektor agromakanan negeri ke arah lebih moden, berteknologi tinggi dan mampan, sejajar usaha memperkukuh sekuriti makanan Sarawak.
Festival berimpak tinggi itu bakal berlangsung dari 25 September hingga 4 Oktober 2026 di Bintulu, dengan majlis perasmian dijadualkan pada 28 September dan bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, SAF 2026 menyasarkan kehadiran seramai 800,000 pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran, selain menjana nilai jualan mencecah RM6.5 juta.
Menurut beliau, fokus utama kali ini adalah mempercepatkan peralihan sektor pertanian daripada kaedah tradisional kepada penggunaan teknologi pintar seperti automasi dan digitalisasi, di samping memperkukuh rantaian bekalan makanan yang lestari.
“Festival ini bukan sekadar platform jualan, tetapi menjadi wadah penting kerajaan dalam memacu anjakan paradigma sektor pertanian ke arah pemodenan berteknologi tinggi,” jelasnya dalam sidang media di Wisma Bapa Malaysia, pada Selasa.
Tambah beliau, inisiatif tersebut juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembinaan ekosistem sekuriti makanan yang berdaya tahan serta mampu mengangkat usahawan agro tempatan ke peringkat global.
Mengulas lanjut, beliau berkata SAF 2026 akan menampilkan 14 segmen utama termasuk pavilion pameran agensi kerajaan dan swasta, agro trade, agro fresh, agro tech, agro input, peladang e-shop, Sarawak Kitchen serta pelbagai laman komoditi seperti padi, ikan, nanas, sagu, nipah dan ternakan.
Selain itu, satu persidangan antarabangsa iaitu Congress on Sustainable Agriculture and Food Security (COSAF) 2026 turut dianjurkan dari 3 hingga 6 Ogos ini di Bintulu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Sarawak Kampus Bintulu, bertemakan “Feeding the Future: Fostering Sustainable Food”.
Dalam masa sama, SAF 2026 turut mengiktiraf kecemerlangan komuniti agro melalui beberapa kategori anugerah antaranya Ikon Agropeneur Sarawak, Agropeneur Belia, Usahawan Tanaman Makanan Terbaik, Industri Asas Tani Terbaik, Perikanan Darat Terbaik, Pertubuhan Peladang Kawasan Terbaik serta Penternak Terbaik.
Justeru, beliau menggalakkan penyertaan aktif daripada pemain industri, usahawan serta pelabur tempatan dan antarabangsa bagi memeriahkan festival tersebut, dengan jualan ruang pameran dibuka bermula 2 Julai 2026.
Dalam pada itu katanya, pemilihan Bintulu sebagai lokasi penganjuran dilihat strategik kerana kedudukannya yang berada di tengah-tengah Sarawak, sekali gus memudahkan akses pengunjung dari seluruh negeri.
“Pengalaman penganjuran sebelum ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan, dan kita yakin SAF 2026 akan terus mencatat kejayaan lebih besar,” tambahnya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben, Setiausaha Tetap kementerian, Datu Sirai Daha serta tetamu lain.-EDISI UKAS