BCC Mercu Tanda Baharu Pemeliharaan Budaya, Pembangunan Bau
BAU: Pembukaan Bidayuh Cultural Centre (BCC) di sini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memelihara warisan budaya masyarakat Bidayuh di samping menyokong pembangunan seimbang dan mampan di daerah Bau.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, penubuhan pusat berkenaan merupakan impian masyarakat Bidayuh Bau sejak sekian lama yang akhirnya berjaya direalisasikan menerusi perancangan strategik di bawah Blueprint for Bau District 2016-2030 dan inisiatif Greater Bau 2030.
Menurut beliau, projek BCC yang dibangunkan dengan peruntukan RM9 juta di bawah Projek Rakyat dilengkapi dewan serbaguna berkapasiti lebih 1,000 orang, ruang pameran, kemudahan mesyuarat serta sebuah Baruk tradisional yang melambangkan identiti dan warisan masyarakat Bidayuh.
“BCC bukan sekadar sebuah dewan komuniti, tetapi dirancang sebagai mercu tanda budaya yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan tanpa mengabaikan identiti dan warisan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Bidayuh Cultural Centre (BCC) yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg pada Isnin.
Tambah beliau, BCC kini menjadi lokasi pelbagai program komuniti termasuk Bau Gawai Parade, program belia dan karnival pendidikan, sekali gus membuktikan peranannya sebagai pusat komuniti yang menyokong pembangunan modal insan serta pemerkasaan budaya di Bau.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan yang dirancang di bawah visi Greater Bau dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata, malah turut memberi penekanan terhadap aspek perpaduan, kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan warisan budaya.
Menurutnya, Bau memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan berikutan kekayaan sejarah perlombongan emas, keunikan landskap batu kapur, gua semula jadi serta identiti budaya Bidayuh yang masih kukuh dipelihara.
Menyentuh mengenai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), beliau berkata Kerajaan Sarawak terus memberi keutamaan kepada usaha penyukatan dan pengiktirafan tanah bagi menjamin hak pemilikan rakyat yang layak.
Katanya, sempena majlis tersebut, penyerahan Warta Tanah Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 turut dilaksanakan, sekali gus menjadikan ia penyerahan kali kesembilan bagi kawasan DUN Tasik Biru.
Sehingga tahun 2024, sebanyak 4,059 Surat Hak Milik Tanah telah berjaya dikeluarkan di kawasan DUN Tasik Biru, manakala 2,109 lagi Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 diserahkan kepada penerima pada majlis berkenaan.
Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan isu tanah NCR serta memberikan jaminan dan pengiktirafan kepada pemilik tanah demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin serta dif-dif kenamaan lain.- EDISI UKAS