BAU: Usaha Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pengiktirafan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diteruskan apabila beberapa lagi kampung di sekitar Bau menerima Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan pemilik tanah menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 dalam satu majlis yang diadakan di Bidayuh Cultural Centre (BCC) pada Isnin.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penyerahan tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan program penyukatan dan pengiktirafan tanah NCR bagi menjamin hak pemilikan rakyat yang layak.
Menurut beliau, proses penyukatan tanah NCR memerlukan kerjasama semua pihak kerana melibatkan pelbagai peringkat rundingan serta penyelesaian isu sempadan sebelum sesuatu kawasan dapat diwartakan atau diberikan hak milik.
“Justeru, kampung-kampung yang masih belum memulakan proses penyukatan tanah NCR disaran bekerjasama dengan Dayak Bidayuh National Association (DBNA), Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta agensi berkaitan bagi mempercepatkan proses dokumentasi dan pengiktirafan tanah adat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Roland berkata pembinaan Bidayuh Cultural Centre (BCC) bernilai RM9 juta menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak kini menjadi mercu tanda baharu di Bau dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada Baruk Bidayuh sebagai simbol identiti dan warisan masyarakat setempat.
Katanya, kemudahan tersebut bukan sahaja menyediakan ruang bagi penganjuran pelbagai program komuniti, sosial dan kebudayaan, malah menyokong agenda pembangunan Greater Bau yang menekankan keseimbangan antara kemajuan dan pemeliharaan warisan budaya.
Beliau turut menegaskan bahawa BCC terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama serta berperanan sebagai platform yang mengukuhkan perpaduan dan kebersamaan komuniti.
Tambah beliau, pembangunan fizikal dan pengiktirafan hak tanah perlu bergerak seiring bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh selaras dengan aspirasi Greater Bau dan matlamat Sarawak Maju Makmur 2030.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap ADUN Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin serta dif-dif kenamaan lain. - EDISI UKAS