SCOPE Lancar GETS-WRP Kohort 6, Perkasa Bakat Anak Sarawak
KUCHING: Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) terus proaktif dalam usahanya untuk memperkasa modal insan tempatan dengan melancarkan Program Graduates Enhancement and Training Sarawak (GETS) – Workplace Readiness Programme (WRP) Kohort 6.
Inisiatif dilancarkan pada Selasa itu menzahirkan komitmen berterusan SCOPE dalam melahirkan graduan berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan yang semakin dipacu transformasi digital, inovasi dan teknologi baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim dalam kenyataan pada Selasa berkata, program itu bertujuan melengkapkan graduan Sarawak dengan pengetahuan, kemahiran serta kompetensi profesional yang relevan, termasuk keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan global dan keperluan industri semasa.
Katanya, sejak diperkenalkan, GETS-WRP menjadi platform strategik yang menghubungkan dunia akademik dengan keperluan industri melalui pelbagai komponen seperti latihan kebolehpasaran, pembangunan kemahiran insaniah, pendedahan industri serta penempatan latihan bersama majikan.
"Pembangunan bakat tempatan merupakan asas penting dalam memastikan masa depan Sarawak terus mampan dan berdaya saing.
"Pelaksanaan program ini selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya tahan serta mampu memenuhi keperluan sektor strategik seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, pembuatan maju, pelancongan dan keusahawanan," ujarnya.
Katanya, antara komponen utama GETS-WRP Kohort 6 merangkumi latihan kesediaan kerja dan kebolehpasaran, pembangunan kemahiran komunikasi profesional serta kepimpinan, sesi perkongsian bersama industri, bimbingan kerjaya dan program mentor, selain penempatan latihan industri.
Program ini turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), TVS dan PERKESO, selain organisasi sektor awam dan swasta yang komited dalam pembangunan bakat tempatan.
Dalam pada itu, SCOPE ujarnya turut mengalu-alukan penyertaan graduan dari seluruh Sarawak untuk menyertai Kohort 6 sebagai platform memperkukuh kemahiran, memperluas rangkaian profesional serta meningkatkan kebolehpasaran dalam pasaran pekerjaan.
"Program seperti GETS-WRP dilihat sebagai pemangkin penting dalam usaha Sarawak mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi berteraskan inovasi, sekali gus memastikan bakat tempatan terus menjadi tonggak utama pembangunan negeri," katanya.-EDISI UKAS