STIDC Promosi Produk Kayu Dan Perabot Sarawak Di Ekspo Perdagangan Terbesar Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) memperkukuh usaha mempromosikan produk kayu dan perabot bernilai tinggi keluaran negeri ini menerusi penyertaan dalam Pameran Pengguna dan Ekspo Perdagangan Ke-33 (CFTE) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Brunei.
Pengurus Pembangunan Industri STIDC, Lundy Joe Sibat berkata dalam satu kenyataan pada Rabu, penyertaan tersebut membuka peluang kepada Sarawak untuk memperluaskan pasaran serta menjalin kerjasama strategik dengan pembeli dan pelabur serantau.
“Penyertaan dalam CFTE Ke-33 merupakan peluang yang amat baik untuk kami berhubung secara bersemuka dengan jiran dan rakan serantau. Brunei merupakan pasaran yang sangat bernilai bagi Sarawak,” katanya.
Acara tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei, Dayang Hajah Tutiaty Abdul Wahab.
Tegasnya, platform tersebut bukan sekadar pameran perdagangan biasa, malah menjadi ruang untuk berkongsi kisah inovasi dan kelestarian yang membentuk industri kayu Sarawak pada masa kini.
Beliau berkata pameran tersebut turut menjadi medan untuk mengetengahkan kemajuan industri kayu Sarawak yang kini semakin tertumpu kepada penghasilan perabot berkualiti tinggi serta produk hiliran yang dihasilkan secara mampan.
Katanya, STIDC bukan sahaja mempamerkan produk, malah berkongsi perkembangan inovasi dan amalan kelestarian yang menjadi teras pembangunan industri kayu negeri.
Menurutnya, STIDC amat menantikan sesi padanan perniagaan untuk membina kerjasama jangka panjang yang tulen dan memberi manfaat kepada perusahaan di kedua-dua belah sempadan.
Kehadiran STIDC di pameran itu turut melibatkan gerai khas yang menampilkan beberapa syarikat tempatan terkemuka iaitu Kayusar Sdn Bhd, Solo Timber Sdn Bhd, Brown Two Furniture dan Hap Lee Fun Enterprise.
Selain mempromosikan produk berasaskan kayu, Lundy turut menekankan potensi besar pertumbuhan industri di Tanjung Manis serta mengalu-alukan pelabur serantau untuk meneroka peluang pelaburan di kawasan tersebut.
Selain mempromosikan produk berasaskan kayu, Lundy turut menekankan potensi besar pertumbuhan industri di Tanjung Manis serta mengalu-alukan pelabur serantau untuk meneroka peluang pelaburan di kawasan tersebut.
“STIDC telah memainkan peranan penting dalam mentransformasikan zon ekonomi Tanjung Manis menjadi hab industri dan komersial yang kukuh.
“Selain kompleks industri kayu yang telah sedia wujud, inisiatif berterusan STIDC di kawasan itu termasuk pembangunan taman perabot khusus, penambahbaikan kemudahan pelabuhan laut dalam serta perluasan pembangunan bandar bersepadu,” ujarnya.
Jelas Lundy, pembangunan tersebut bukan sahaja memperluaskan penglibatan STIDC dalam pelbagai sektor ekonomi, malah bertujuan meningkatkan nilai eksport produk berimpak tinggi melalui aktiviti hiliran bernilai tinggi, sektor akuakultur dan industri halal.
Pavilion STIDC menawarkan peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat aspek ketukangan, reka bentuk moden dan amalan mampan yang menjadi tunjang kepada industri berasaskan kayu Sarawak.
Pasukan STIDC juga berada di pavilion sepanjang lima hari penganjuran bagi mengadakan sesi padanan perniagaan dengan pihak yang berminat.
Pameran tersebut berlangsung dari 24 hingga 28 Jun 2026 dan orang ramai, pelawat perdagangan serta usahawan dijemput mengunjungi pavilion STIDC. -EDISI UKAS