Pesta Dumpling Perkukuh Pemeliharaan Warisan Budaya Cina
BINTULU: Sambutan Pesta Dumpling terus memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat Cina di samping menyemai nilai murni seperti kesetiaan, perpaduan dan pengorbanan dalam kalangan generasi muda.
Perayaan yang berusia lebih 2,000 tahun ini bukan sekadar tradisi tahunan, malah sarat dengan pengajaran yang masih relevan sehingga kini, khususnya dalam membentuk jati diri masyarakat berbilang kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, Pesta Dumpling yang dikaitkan dengan penyair patriotik China, Qu Yuan, mengangkat nilai cintakan negara, ketabahan dan semangat pengorbanan yang wajar dijadikan teladan.
“Pesta Dumpling bukan sekadar sinonim dengan hidangan dumpling dan perlumbaan perahu naga, malah menjadi peringatan untuk terus menghargai warisan budaya Cina serta menghayati nilai kesetiaan, perpaduan, ketabahan dan pengorbanan.
“Saya juga berasa gembira melihat masyarakat dan pertubuhan komuniti terus memainkan peranan dalam memeriahkan pelbagai sambutan perayaan, khususnya perayaan masyarakat Cina. Semangat kebersamaan seperti ini merupakan nilai murni yang perlu terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pesta Dumpling anjuran Seksyen Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu yang berlangsung di Pejabat SUPP Bintulu pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penganjuran program berasaskan budaya mampu mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum selain memberi peluang kepada generasi muda untuk memahami sejarah serta nilai yang terkandung dalam sesuatu perayaan tradisional.
Dalam masa sama, beliau berharap lebih banyak aktiviti kebudayaan dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi memastikan identiti dan warisan masyarakat terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi seterusnya.-EDISI UKAS