Jabatan Perikanan Perkasa Kerjasama Dengan Komuniti Nelayan
MIRI: Usaha memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti nelayan terus dipergiat bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih terbuka, responsif serta berkesan kepada rakyat.
Pendekatan tersebut dilaksanakan menerusi penganjuran program interaksi bersama komuniti nelayan yang menjadi platform penting dalam menyampaikan maklumat serta mendapatkan maklum balas secara langsung di peringkat akar umbi.
Ketua Wilayah Perikanan III Miri, Muhammad Saini Suliansa berkata, program seumpama itu membolehkan komuniti nelayan berkongsi pandangan, cadangan serta isu yang memerlukan perhatian kerajaan dan agensi berkaitan.
“Nelayan merupakan mata dan telinga kerajaan di lapangan. Sebarang keperluan yang dihadapi boleh disalurkan kepada jabatan untuk tindakan dan perhatian lanjut bersama agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Majlis Interaksi Bersama Komuniti Nelayan Kampung Kuala Bakam dan Penyerahan Bantuan Peralatan Touch Point yang diadakan di Balai Raya Kampung Kuala Bakam, pada Selasa.
Menurut beliau, antara isu utama yang sering dibangkitkan oleh komuniti nelayan termasuk keadaan muara sungai, kemudahan laluan keluar masuk ke laut serta keperluan pemasangan dan penyelenggaraan lampu pandu arah bagi meningkatkan keselamatan pelayaran.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan komuniti nelayan untuk terus bekerjasama dengan Jabatan Perikanan dalam menyalurkan maklumat dan permasalahan yang dihadapi supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pejabat Jabatan Perikanan sentiasa terbuka kepada nelayan yang memerlukan khidmat nasihat atau maklumat berkaitan lesen, bantuan, peralatan serta program pembangunan yang disediakan kerajaan.
Program anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak itu turut diisi dengan beberapa sesi taklimat melibatkan pindaan Akta Perikanan 1985, peranan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), perkhidmatan Co-opbank Pertama serta ceramah kesihatan.
Pada majlis sama, seramai 60 nelayan dari Kampung Kuala Bakam menerima bantuan peralatan Touch Point berupa jaket keselamatan sebagai usaha meningkatkan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti perikanan di laut.
Hadir sama wakil LKIM Awang Ismail Awang Sharie, Penghulu Andra Salleh, Ketua Kampung Kuala Bakam Okong Sulip serta komuniti setempat.-EDISI UKAS