Pengguna Set Janakuasa Rumah Panjang Kekal Layak Terima Diesel Bersubsidi
KUCHING: Penduduk rumah panjang di Sarawak yang masih bergantung kepada set janakuasa sebagai sumber bekalan elektrik harian akan terus menikmati akses kepada diesel bersubsidi menerusi mekanisme khas yang diperkenalkan kerajaan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula 1 Julai ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme tersebut membolehkan individu yang layak dikenal pasti dan disahkan oleh Pejabat Residen di kawasan masing-masing sebelum diaktifkan dalam sistem bagi mendapatkan diesel pada kadar harga subsidi yang ditetapkan kerajaan.
“Bagi penduduk rumah panjang yang bergantung kepada penggunaan genset, Pejabat Residen akan memainkan peranan untuk mengenal pasti individu yang layak menerima kemudahan tersebut.
“Setelah dikenal pasti, nombor kad pengenalan individu berkenaan akan diaktifkan dalam sistem dan apabila pengaktifan selesai, individu tersebut boleh mendapatkan bekalan diesel bersubsidi di premis atau stesen bagi membeli bahan api berkenaan pada kadar harga subsidi yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada pengamal media mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu jelasnya, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme khusus bagi memastikan pengusaha bot sungai yang menjadi nadi pengangkutan di banyak kawasan pedalaman Sarawak terus mendapat manfaat diesel bersubsidi.
Menurutnya, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti serta mengesahkan pengusaha bot yang layak menerima kemudahan tersebut.
Katanya, senarai pengusaha yang disahkan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sebelum pengaktifan dibuat melalui MyKad bagi membolehkan mereka membeli diesel pada kadar subsidi yang ditetapkan kerajaan.-EDISI UKAS