UKAS-DBP Perkukuh Kerjasama Strategik, Seri 4-4 Warnai Aksi Persahabatan
KUCHING: Perlawanan bola sepak persahabatan yang berakhir dengan keputusan seri 4-4 antara Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sahaja menyajikan aksi menghiburkan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan strategik serta semangat kerjasama antara kedua-dua agensi sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP di Sarawak.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya pada Selasa itu turut diserikan dengan penyertaan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr Azizul Ismail.
Selain menjadi medan menguji kecergasan dan semangat berpasukan, perlawanan itu turut mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kerja UKAS dan DBP.
Sebagai dua agensi yang memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat dan pemerkasaan bahasa, UKAS dan DBP berkongsi aspirasi sama dalam memperkukuh literasi masyarakat serta membina komuniti yang berilmu dan berinformasi.
UKAS United membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Ridzwan Jemat sebelum DBP menyamakan kedudukan hasil jaringan Aliff Rafiqqi.
DBP kemudian mendahului menerusi gol Nur Iqbal Abu Bakar, namun Muhammad Ridzwan sekali lagi menjaringkan gol kedua peribadinya untuk mengikat kedudukan 2-2.
DBP kembali di hadapan menerusi jaringan Abdullah Azan sebelum Andria Kenyalang Ali memastikan UKAS United terus memberi saingan apabila menyamakan kedudukan 3-3.
Pasukan DBP sekali lagi mendahului hasil jaringan Dr Azizul Ismail yang menjadikan kedudukan 4-3.
Namun, drama penghujung perlawanan menyaksikan UKAS United dihadiahkan sepakan penalti selepas berlaku kekasaran di dalam kotak penalti DBP.
Pengarah UKAS tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan 4-4, sekali gus muncul penyelamat UKAS United dalam aksi penuh semangat muhibah itu.-EDISI UKAS