Projek Bekalan Air RM12.6 Juta Puncak Borneo Selesai, Manfaatkan Ribuan Penduduk Luar Bandar
PADAWAN: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur asas luar bandar terus membuahkan hasil apabila projek Sistem Acute Puncak Borneo bernilai RM12.6 juta berjaya disiapkan sepenuhnya dan mula beroperasi sejak Disember 2025.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, loji rawatan air berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga enam juta liter sehari dan kini beroperasi pada kadar empat juta liter sehari, sekali gus menyediakan kapasiti tambahan bagi menampung pertumbuhan permintaan pada masa hadapan.
“Projek ini memberi manfaat kepada banyak kampung termasuk Kampung Gerung, Kampung Karu, Kampung Gayu, Kampung Bayur, Kampung Jambu, Kampung Sigandar, Kampung Braang Payang, Kampung Serumah, Kampung Bidak, Kampung Krian dan Kampung Sira serta sekolah-sekolah di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi lawatan rasmi beliau, di sini pada Selasa.
Dilaksanakan menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), projek tersebut merupakan inisiatif strategik bagi memastikan bekalan air terawat yang stabil dan berkualiti dapat dinikmati penduduk khususnya di kawasan tanah tinggi serta hujung rangkaian bekalan air.
Tambah beliau lagi, kejayaan pelaksanaan projek tersebut membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat luar bandar turut menikmati kemudahan asas yang berkualiti dan setanding dengan kawasan bandar.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata projek tersebut menjadi penyelesaian kepada masalah tekanan air rendah yang sebelum ini dihadapi oleh beberapa kampung, termasuk Kampung Jambu yang pernah berdepan gangguan dan ketiadaan bekalan air.
“Ini adalah satu kejayaan besar untuk rakyat di kawasan Puncak Borneo dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong secara keseluruhannya,” ujarnya.
Menurut beliau, kemudahan bekalan air yang lebih stabil bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, malah mampu menyokong aktiviti ekonomi, pendidikan dan pembangunan komuniti secara menyeluruh.
Turut hadir, Pengarah Bekalan Air MUTS Ir George Lee Chun Lung dan Pegawai Tadbir Menguasai Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS