Sarawak Ambil Alih 79 Projek Air Persekutuan Bernilai RM3.47 Bilion, Percepat Liputan Bekalan Air Negeri
PADAWAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur utiliti dengan mengambil alih 79 projek bekalan air Persekutuan bernilai RM3.47 bilion bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipercepatkan demi manfaat rakyat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, langkah strategik tersebut diambil bagi mengelakkan berlakunya jurang dalam sistem agihan air negeri, sekali gus memastikan projek-projek yang dirancang dapat disiapkan secara lebih cekap dan berkesan.
Beliau berkata demikian kepada media semasa mengadakan lawatan kerja ke Sistem Acute Puncak Borneo, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pengambilalihan projek berkenaan kini berada dalam proses selepas mendapat persetujuan prinsip daripada Kabinet Persekutuan.
Katanya, keputusan tersebut selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan pelaksanaan projek bekalan air berdasarkan rekod prestasi negeri yang mencatat kadar kejayaan melebihi 90 peratus dalam menyiapkan projek-projek berkaitan.
“Kerajaan Sarawak telah meluluskan hampir RM7 bilion bagi melaksanakan 360 projek bekalan air di seluruh negeri.
"Justeru, kita mahu semua projek termasuk yang dibiayai oleh Persekutuan dapat disiapkan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau menambah, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memastikan akses kepada bekalan air terawat yang berkualiti dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sarawak termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Julaihi memaklumkan bahawa Sistem Acute Puncak Borneo yang kini beroperasi mempunyai kapasiti lebihan yang mencukupi untuk diperluaskan ke beberapa kawasan sekitar.
Menurut beliau, antara kawasan yang berpotensi menerima sambungan bekalan air terawat dalam masa terdekat ialah Kampung Sitang, Kampung Petag dan Kampung Bangau.
Selain itu, cadangan turut dikemukakan bagi memperluaskan liputan bekalan air ke Kampung Sapit yang merupakan antara destinasi pelancongan luar bandar dan masih bergantung kepada sistem bekalan air graviti. -EDISI UKAS