Projek Tangki Air Sabal Fasa 2 Capai 74 Peratus Siap, Bakal Manfaatkan 44 Kampung
SERIAN: Sistem bekalan air luar bandar terus menunjukkan kemajuan positif apabila Projek Tangki Air Sabal Fasa 2 bernilai RM126 juta kini mencapai 74 peratus siap dan berada di hadapan jadual pelaksanaan yang ditetapkan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata perkembangan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, menikmati akses kepada bekalan air terawat yang lebih stabil dan berkualiti.
Tegasnya, semua komponen projek perlu disiapkan secara serentak sebelum sistem bekalan air dapat beroperasi sepenuhnya dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Pembinaan tangki air sahaja tidak mencukupi. Stesen pam, sistem pengagihan paip dan sambungan baharu juga perlu disiapkan sepenuhnya kerana semua komponen ini saling berkait dan mesti berfungsi bersama sebelum projek dapat digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Tangki Air Sabal Fasa 2 bagi meninjau perkembangan semasa pelaksanaan projek berkenaan, pada Selasa.
Menurut taklimat yang disampaikan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, projek itu merangkumi pembinaan tangki air berkapasiti 1.8 juta liter, stesen pam, sistem agihan paip serta sambungan baharu kepada pengguna.
Projek yang dijadualkan siap pada 9 April 2027 itu dijangka memberi manfaat kepada 44 buah kampung melibatkan 822 isi rumah bermula dari Kampung Batu Kecit sehingga ke Kampung Giam Lama.
Dalam lawatan yang sama, Dato Sri Julaihi turut menjelaskan bahawa kos penyambungan paip selepas meter adalah di bawah tanggungjawab pengguna, termasuk bagi premis kerajaan, sekolah dan kediaman persendirian.
Katanya, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) serta JBALB hanya bertanggungjawab menyediakan infrastruktur asas bekalan air sehingga ke meter pengguna.
“Kerajaan menyediakan kemudahan asas sehingga ke meter. Sebarang kerja penyambungan selepas meter adalah tanggungjawab pemilik premis dan tidak lagi ditanggung oleh kementerian mahupun JBALB,” tegas beliau.
Beliau berkata, pemahaman yang jelas mengenai skop tanggungjawab tersebut penting bagi memastikan proses penyambungan bekalan air dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan apabila projek siap sepenuhnya nanti.
Turut hadir, Pengarah Bekalan Air MUTS Ir George Lee Chun Lung, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong, Jurutera JBALB Serian Ts Jill Jackson dan Pegawai Daerah Serian Henry Inting Nyami. -EDISI UKAS