KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperluaskan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan memasukkan kenderaan jenis pikap dan jip yang digunakan bagi tujuan komersial sebagai penerima subsidi diesel melalui kemudahan ‘fleet card’.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan sektor pengangkutan, logistik dan perkhidmatan penting di Sabah dan Sarawak terus menikmati akses kepada diesel bersubsidi, sekali gus membantu mengekang peningkatan kos operasi dan tekanan inflasi.
Menurut beliau, peluasan SKDS 2.0 ke Sabah dan Sarawak dijangka dapat menambah liputan lebih 70,000 kenderaan termasuk 33 kategori kenderaan komersial yang terus menerima subsidi di bawah mekanisme SKDS 2.0.
“Jadi, implikasi kepada negara adalah bagi mengurangkan tekanan inflasi, memandangkan perkhidmatan asas yang dinikmati rakyat tidak akan terjejas kerana sektor-sektor berkaitan akan terus menerima sokongan menerusi pemberian diesel bersubsidi di bawah sektor komersial,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa memberikan taklimat kepada pengamal media mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, di sini pada Rabu.
Jelasnya, pengiktirafan terhadap penggunaan meluas kenderaan pikap dan jip dalam aktiviti ekonomi di Sabah dan Sarawak menjadi faktor utama kerajaan memperluaskan kelayakan SKDS 2.0 kepada kategori tersebut.
Dengan penambahan kategori baharu itu, jelasnya jumlah keseluruhan kenderaan yang layak menerima subsidi diesel melalui fleet card kini melebihi 500,000 kenderaan di seluruh negara.
“Jadi mereka yang layak akan diberikan kuota yang berpatutan terpulang kepada kategori kenderaan yang dimiliki dan mereka ini akan terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.88 seliter (sektor pengangkutan darat awam) manakala harga RM2.15 seliter (sektor pengangkutan darat barangan),” ujar beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Amir Hamzah memaklumkan bahawa daripada kira-kira 75,000 kenderaan yang layak di Sabah dan Sarawak, sebanyak 32,000 kenderaan telah berjaya memperoleh ‘fleet card’ setakat ini.
Beliau berkata, kerajaan akan terus mempergiat usaha pendaftaran bagi memastikan lebih banyak pengusaha pengangkutan dan perniagaan di Sabah serta Sarawak dapat menikmati manfaat subsidi diesel bersasar yang disediakan. -EDISI UKAS