BIMP-EAGA Perlu Tubuhkan Pejabat Serantau Di Setiap Negara Terlibat
KUCHING: Kerjasama serantau di bawah Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) perlu diperkukuhkan menerusi penubuhan pejabat serantau di setiap negara yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan dan ekonomi dapat digerakkan dengan lebih berkesan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah tersebut mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan inisiatif BIMP-EAGA yang telah diwujudkan sejak 1994.
Menurut beliau, BIMP-EAGA boleh meneliti kejayaan model Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) yang berjaya memperkukuh hubungan perdagangan dan pelancongan Sarawak dengan negara luar.
“Sebab itu kadang-kadang saya merasakan BIMP-EAGA juga perlu melihat dan mengkaji bagaimana STATOS berkembang.
“Jika dari tahun 1994 sehingga sekarang masih belum ada pejabat serantau, fikirkan bagaimana untuk menubuhkan pejabat serantau seperti di Davao City dan kawasan-kawasan lain.
“STATOS berkembang dengan cepat, malah lebih pantas mencapai kejayaan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian ‘BIMP-EAGA Tourism Exchange (BETX) 2026’ di Kuching pada Rabu.
Tambahnya, perkembangan positif yang dicapai oleh STATOS menunjukkan pendekatan tersebut mampu mempercepatkan usaha promosi perdagangan, pelaburan dan pelancongan Sarawak di luar negara.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, Sarawak turut menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Kluster Pelancongan BIMP-EAGA Ke-22 yang berlangsung pada 24 dan 25 Jun di mana ia akan menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai keutamaan strategik dan inisiatif bersama bagi meningkatkan daya saing pelancongan serantau.
Menurutnya, antara perkara pokok yang dibincangkan bagaimana untuk menyelaraskan keutamaan strategik dan inisiatif bersama yang bertujuan meningkatkan daya saing pelancongan serantau, memperkukuh hubungan jaringan, mempromosikan pembangunan pelancongan mampan, melaksanakan program bersama serta mempercepatkan transformasi digital dalam sektor pelancongan di rantau BIMP-EAGA.
“Seperti yang saya nyatakan tadi, BIMP-EAGA telah ditubuhkan pada tahun 1994, namun masih banyak perkara yang perlu dilakukan kerana saya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor pelancongan di Sarawak, sudah tentu saya mahu melihat lebih banyak pencapaian.
“Ini kerana kita adalah jiran dan jika kita mahu melihat kawasan terbaik untuk membangunkan pelancongan dan perdagangan, ia adalah dalam kalangan jiran kita sendiri,” jelasnya.
Jelasnya, negara dan wilayah berjiran mempunyai potensi besar untuk saling menyokong dalam sektor pelancongan dan perdagangan, sebagaimana yang dapat dilihat melalui kerjasama ekonomi yang berjaya di Eropah dan Asia Timur.
Katanya, rantau BIMP-EAGA yang mempunyai lebih 450 juta penduduk menawarkan pasaran yang besar dan berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor pelancongan tanpa perlu terlalu bergantung kepada pasaran luar. -EDISI UKAS