Sarawak Mahu Pelancongan Diletakkan Di Bawah Senarai Bersama, Bukan Dikuasai Sepenuhnya Kerajaan Persekutuan
KUCHING: Bidang pelancongan wajar diletakkan di bawah Senarai Bersama (Concurrent List) bagi membolehkan kuasa dan tanggungjawab berkaitan sektor tersebut dikongsi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelancongan tidak pernah dinyatakan secara khusus dalam pembahagian kuasa ketika pembentukan Malaysia di bawah Perjanjan Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, beliau telah lama mengemukakan cadangan agar kuasa berkaitan pelancongan diserahkan semula kepada Sarawak, namun menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menuntut penguasaan penuh terhadap sektor tersebut.
“Itulah sebabnya saya telah berusaha meminta supaya kuasa pelancongan diserahkan semula tetapi kita tidak tamak kerana kita telah membincangkannya di peringkat kabinet negeri dan kita tidak mahu pelancongan berada 100 peratus di bawah kerajaan negeri.
“Kita mahu berkongsi maka sebab itu kita mahu pelancongan dimasukkan ke dalam apa yang kita panggil Senarai Bersama di mana ia bermaksud perkara yang dikongsi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas Majlis Perasmian ‘BIMP-EAGA Tourism Exchange (BETX) 2026’ di Kuching pada Rabu.
Tambahnya, berdasarkan prinsip perundangan, perkara yang tidak terkandung dalam Senarai Persekutuan (Federal List), Senarai Negeri (State List) atau Senarai Bersama (Concurrent List) seharusnya dianggap sebagai perkara di bawah Senarai Residual yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri di mana pelancongan terletak di bawah Senarai Residual.
Dato Sri Abdul Karim menjelaskan, sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan negeri, justeru pendekatan perkongsian kuasa adalah lebih sesuai berbanding penguasaan oleh satu pihak sahaja.
Namun, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap tindakan yang didakwa memindahkan bidang kuasa pelancongan kepada kerajaan Persekutuan tanpa mengambil kira semangat asal pembentukan Malaysia.
Menurutnya, perkara tersebut perlu diteliti semula agar selari dengan prinsip dan persefahaman yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963. -EDISI UKAS