SK Nanga Skrang Perlu Dipindahkan, Bangunan Kini Dalam Skala Tujuh JKR
SIMANGGANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Skrang di Sri Aman dicadangkan untuk dipindahkan ke tapak baharu berikutan keadaan bangunannya yang berada pada tahap kerosakan kritikal dan tidak lagi selamat digunakan.
Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman telah pun mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis untuk mengemukakan cadangan tapak penempatan semula SK Nanga Skrang di Wisma Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) pada Rabu.
Pada taklimat terbabit, pihak PPD Sri Aman telah menyampaikan analisis mengenai penilaian kesesuaian tiga tapak cadangan baharu penempatan semula SK Nanga Skrang berdasarkan kepada faktor jarak, kebolehcapaian, hubungan dengan pusat bandar dan kemudahan infstruktur sedia ada.
Menurut pihak PPD Sri Aman, SK Nanga Skrang terletak sejauh 8.16 kilometer dari Bandar Simanggang (jika jalan pesisir siap) dengan pengangkutan utama ke sekolah pada masa sekarang adalah bot dan perahu.
Katanya, SK Nanga Skrang juga terletak berhampiran dengan sungai dan kerap dilanda banjir semasa berlangsungnya fenomena air pasang besar atau turut dikenali sebagai benak di samping terdedah kepada ancaman buaya.
Pada perjumpaan itu, PPD Sri Aman telah memaklumkan cadangan tapak pertama terletak sejauh 4.92 km dari Bandar Simanggang dan terletak di kawasan darat yang jauh dari kawasan sungai serta mudah dihubungi melalui Jambatan Batang Lupar 2.
Manakala cadangan tapak kedua dan ketiga penempatan semula SK Nanga Skrang masih terletak berhampiran dengan kawasan sungai dengan cadangan tapak ketiga itu kurang memuaskan dari segi kebolehcapaian, terdedah kepada risiko tinggi serangan buaya atau banjir dan jauh dari Bandar Simanggang.
Pada penghujung mesyuarat terbabit, Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memutuskan untuk memilih cadangan tapak pertama dan akan mengadakan perjumpaan dengan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman pada 6 Julai ini bagi menentukan status tanah.
Beliau turut akan mengadakan dialog bersama penduduk rumah panjang bagi membincangkan isu penempatan semula SK Nanga Skrang demi kebaikan murid serta warga pendidik di sekolah tersebut. -EDISI UKAS