SDRE Connect Perkukuh Ekosistem Residensi Digital Sarawak Melalui Jaringan Serantau
KUCHING: Sarawak Digital Residency Ecosystem (SDRE) Connect menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem Program Residensi Digital Sarawak (SDRP) melalui sesi perkongsian strategik bersama pemain industri tempatan, komuniti digital serta rakan serantau di Muzium Budaya Borneo, di sini pada Selasa.
Program itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkasa kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan bakat digital global, selaras dengan pembangunan ekonomi digital negeri.
Acara tersebut menampilkan dua sesi panel perbincangan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem, trend kerja jarak jauh serta pengalaman hidup dan bekerja di Sarawak.
Sesi panel pertama bertajuk ‘Perspektif Ekosistem dan Industri’ menghimpunkan Elaine Sim (MigrateSafe), Wan Xin (Remote Work Malaysia), Ng Sai Kit (Artem Ventures) serta John Ho (Alt_Coliving Chiang Mai) yanv memberi fokus kepada peranan kerajaan, komuniti dan rakan industri dalam mewujudkan persekitaran kondusif bagi profesional digital serta bakat global mudah alih.
Sesi panel kedua bertajuk ‘Nomad Digital dan Penduduk Asing di Sarawak: Hidup, Bekerja dan Maju di Sarawak’ pula menampilkan Ketua Unit Residensi Digital Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) Kamilia Azizi dan residen asing yang menetap di Kuching Michael Lohrum serta pemegang pas DE Rantau Sarawak Tobias Karlsson.
Menurut kenyataan media SDEC, sesi tersebut berkongsi pengalaman secara langsung berkaitan proses penyesuaian kehidupan di Sarawak, pelaksanaan kerja jarak jauh, integrasi bersama komuniti tempatan serta aspek praktikal yang membentuk pengalaman keseluruhan penduduk digital.
Menurut Kamilia, SDRE Connect berperanan sebagai platform penyatuan ekosistem bagi membolehkan dialog terbuka antara pemain industri, rakan serantau dan penduduk digital.
“Melalui sesi libat urus seperti ini, kita dapat memahami dengan lebih jelas keperluan sebenar ekosistem serta memperkukuh Sarawak sebagai tempat yang kondusif untuk hidup, bekerja dan menyumbang secara bermakna,” katanya menerusi kenyataan media tersebut.
Dalam pada itu, perbincangan turut menekankan kepentingan pembangunan ekosistem yang menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada pas residensi, tetapi turut merangkumi akses kepada komuniti mesra, ruang kerja, penginapan, perkhidmatan profesional, pengalaman tempatan serta rangkaian industri.
Menurut kenyataan yang sama, program berkenaan turut memperkukuh jaringan serantau apabila menghubungkan ekosistem Sarawak dengan komuniti kerja jarak jauh di Semenanjung Malaysia serta Chiang Mai, Thailand, bagi memperluas pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik.
Difahamkan, DE Rantau Sarawak merupakan fasa pertama pelaksanaan SDRP yang bertujuan menarik profesional digital berkelayakan untuk menetap, bekerja secara jarak jauh serta menyertai pertumbuhan ekonomi digital Sarawak. -EDISI UKAS