Sukan Platform Penting Lahir Generasi Sihat, Bijak Pandai
MIRI: Kejohanan Sukan Tahunan Ke-55 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Joseph Miri bukan sekadar medan pertandingan sukan, malah menjadi platform penting dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kecergasan fizikal.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penglibatan aktif dalam sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan holistik golongan muda.
Menurut beliau, selain kecemerlangan akademik, pendidikan juga perlu membentuk individu yang sihat fizikal, tahan mental, seimbang emosi dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
“Melalui sukan, para pelajar mempelajari pelbagai nilai kehidupan seperti disiplin, kerja berpasukan, ketabahan, kepimpinan serta menghormati peraturan yang akan menjadi bekalan berharga sepanjang hayat mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Ke-55 SMK St. Joseph Miri di Stadium Miri pada Rabu.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan dalam sukan bukan hanya diukur melalui kemenangan atau pencapaian rekod baharu, sebaliknya melalui komitmen, usaha berterusan dan keberanian untuk mencabar diri sendiri.
Katanya lagi, sukan medium yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, selaras dengan semangat perpaduan yang menjadi kekuatan utama Sarawak.
“Persahabatan yang terjalin di padang sukan, pengalaman yang diperoleh melalui pertandingan serta rasa hormat terhadap peserta lain merupakan nilai penting dalam membentuk warganegara yang bertanggungjawab dan bakal pemimpin negara,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua atlet yang mengambil bahagian agar bertanding dengan penuh semangat kesukanan, integriti dan kejujuran serta menjadikan setiap pengalaman sebagai peluang untuk memperbaiki diri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), SMK St. Joseph Miri telah menerima peruntukan berjumlah RM630,000 bagi pelbagai projek naik taraf dan penambahbaikan sekolah pada tahun 2018, 2019, 2020, 2022 dan 2025.
Katanya, pelaburan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif demi melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah, guru-guru, jawatankuasa penganjur, ibu bapa, sukarelawan dan pelajar yang telah bertungkus-lumus menjayakan kejohanan tersebut.-EDISI UKAS