Program Derma Darah LANDAS Miri Bantu Tingkatkan Bekalan Darah Hospital Miri
MIRI: Kelab Sukan dan Sosial Jabatan Tanah dan Survei (LANDAS) Miri terus memperkukuh semangat kesukarelawanan menerusi penganjuran Program Derma Darah 2026 di Ruang Lobi Wisma Pelita Tunku, di Miri pada Rabu.
LANDAS Miri dalam kenyataan berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila seramai 42 orang mendaftar sebagai penderma darah sepanjang program berlangsung.
Daripada jumlah tersebut, 32 orang berjaya menderma darah, sekali gus menyumbang 32 beg darah kepada Pusat Darah Hospital Miri yang akan dimanfaatkan bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan LANDAS Miri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta membantu memastikan bekalan darah di Hospital Miri sentiasa mencukupi.
Pada masa yang sama, ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala, selain memupuk budaya kesukarelawanan, menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama WPT Management Corporation, Pusat Darah Hospital Miri, Bulan Sabit Merah Malaysia Bahagian Miri, Co-opbank Pertama Malaysia Berhad, Rotary Club of Miri Oil Town dan Alpro Clinic.
Selain aktiviti pendermaan darah, para pengunjung turut berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah, kolesterol dan Indeks Jisim Badan (BMI).
Kejayaan penganjuran program ini mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga LANDAS Miri serta masyarakat setempat.
Hadir sama Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Miri merangkap Pengerusi Kelab LANDAS, Anthony Aboi.-EDISI UKAS