Program Anak Kita Perkukuh Asas Literasi dan Numerasi Murid Sarawak
KUCHING: Program Anak Kita (PAK) Sarawak memainkan peranan penting dalam memperkukuh asas literasi dan numerasi murid sebagai persediaan melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran serta berdaya saing bagi memenuhi aspirasi pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira merupakan keutamaan yang perlu diberi perhatian sebelum murid dapat menguasai bidang lain seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kecerdasan buatan (AI) serta kemahiran masa depan.
Menurut beliau, Program Anak Kita Sarawak diwujudkan bagi membantu murid yang memerlukan bimbingan tambahan melalui intervensi awal dan sistematik bagi menutup jurang pembelajaran sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk meneruskan pembelajaran bersama rakan sebaya.
“Kejayaan PAK bukan hanya diukur melalui statistik atau peratusan, tetapi melalui keyakinan seorang kanak-kanak yang kini mampu membaca secara berdikari, tidak lagi takut kepada nombor dan lebih aktif mengambil bahagian dalam pembelajaran di dalam kelas,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Anak Kita Sarawak Learning Seminar 2026 di Kuching pada Rabu.
Beliau menambah, penguasaan kukuh dalam literasi dan numerasi juga menjadi asas kepada kejayaan pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak termasuk Program Dwibahasa Sarawak (DLP), Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP), STEM Catalyst serta Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak Tahun 6 (UP-DLPS 6).
Jelasnya, Program Anak Kita bukan sekadar program intervensi literasi dan numerasi, malah merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan bakat masa depan serta kejayaan pendidikan jangka panjang negeri ini.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada para guru yang menjadi tulang belakang kejayaan program berkenaan melalui dedikasi, kesabaran dan komitmen mereka dalam membimbing murid yang memerlukan sokongan tambahan.
“Guru kekal sebagai nadi pendidikan. Mereka menterjemahkan dasar kepada tindakan, program kepada impak dan peluang kepada hasil yang bermakna untuk anak-anak kita,” ujarnya.
Sementara itu, seminar berkenaan menghimpunkan pemimpin sekolah, guru, pegawai pendidikan serta rakan strategik bagi berkongsi amalan terbaik dan pengalaman pelaksanaan Program Anak Kita Sarawak.
Program turut diserikan dengan pameran poster sekolah, sesi lawatan galeri serta penyampaian Anugerah Amalan Pengajaran Inovatif PAK Sarawak.
Para hadirin turut disajikan dengan tayangan montaj tiga calon akhir Anugerah Amalan Pengajaran Inovatif PAK Sarawak yang mengetengahkan pendekatan kreatif dan amalan terbaik guru dalam memperkukuh penguasaan literasi dan numerasi murid sebelum sesi penyampaian anugerah kepada penerima yang berjaya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis serta Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran (SPB), Siti Zulaiha Ibrahim.- EDISI UKAS