Projek RTP RM2.1 Juta Perkukuh Infrastruktur Jalan Luar Bandar Di Tebedu
TEBEDU: Kerajaan Sarawak meneruskan komitmennya memperkasa pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan projek pembinaan baharu dan naik taraf jalan kampung bernilai RM2.1 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Tebedu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada menyaksikan Majlis Penyerahan Tapak dan sesi menandatangani dokumen projek pada Khamis yang menandakan bermulanya pelaksanaan inisiatif tersebut.
Menurut Dr Simon Sinang, projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan jaringan perhubungan luar bandar, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta merangsang aktiviti sosioekonomi di kawasan terbabit.
Menurutnya, penyediaan infrastruktur yang lebih berkualiti akan meningkatkan akses penduduk kepada kemudahan asas, selain menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih mampan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua kontraktor dan agensi pelaksana memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi, jadual serta standard yang ditetapkan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat tanpa kelewatan.
Projek RTP tersebut melibatkan pembinaan baharu dan naik taraf jalan di Kampung Kuhum Mandeg, Kampung Darul Huda, Kampung Bung Padus, Kampung Batu Bedang, Kampung Sebintin, Kampung Payau Burus, Kampung Lobok Batu Mawang, Kampung Reteh Mawang dan Kampung Behem.
Turut dilaksanakan ialah projek naik taraf jalan di Kampung Daha Kisau dengan peruntukan RM300,000, Kampung Daha Mawang (RM200,000) dan Kampung Gahat Mawang (RM220,000).
Kerja pembinaan dijadual bermula pada 26 Jun 2026 dan disasarkan siap sepenuhnya pada November depan.
Majlis penyerahan tapak itu diadakan dengan kerjasama Majlis Daerah Serian selaku agensi teknikal dan pemantau projek.
Turut hadir Setiausaha Majlis Daerah Serian Janice Abraham, SAO Teddy Tala Bakuk serta ketua-ketua kampung dari kawasan yang terlibat.— EDISI UKAS