Bilik Darjah Pintar Perkasa Pendigitalan Pendidikan di Miri
MIRI: Usaha memperkukuh pendidikan berteraskan teknologi terus dipergiat menerusi pelancaran Bilik Darjah Pintar di SJKC Chung Hua Krokop, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam melahirkan modal insan berdaya saing.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian dengan kehadiran beberapa pemimpin negeri serta wakil pertubuhan pendidikan Cina.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam menentukan masa depan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan melalui pelbagai inisiatif termasuk pembinaan dan pemindahan semula sekolah, bantuan kewangan serta peningkatan kemudahan pembelajaran yang selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya dalam majlis tersebut pada Khamis.
Beliau menekankan bahawa penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran perlu diperkasakan bagi memastikan pelajar Sarawak tidak ketinggalan dalam era ekonomi digital.
Menurutnya, pelaksanaan Bilik Darjah Pintar merupakan langkah signifikan ke arah mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif, kreatif dan berkesan.
Selain itu, beliau turut menyentuh kepentingan usaha mendapatkan lebih banyak autonomi pendidikan bagi membolehkan dasar serta perancangan pendidikan disesuaikan dengan keperluan negeri.
Sementara itu, Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata pelaksanaan projek tersebut membuka ruang kepada kaedah pembelajaran moden yang lebih interaktif.
Beliau memaklumkan bahawa sekolah berkenaan menerima empat set papan putih interaktif pintar serta peralatan pengajaran bersepadu bagi membantu guru meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pengalaman pembelajaran murid.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan terhadap pendidikan Cina serta kepada gabungan lembaga pengurus sekolah yang menyelaras pelaksanaan program berkenaan.
Tambah beliau, sekolah tersebut turut menerima peruntukan melebihi RM700,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaik taraf pelbagai kemudahan termasuk bilik darjah, dewan, pejabat guru, perpustakaan serta infrastruktur asas.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan gimik pelancaran, penyampaian cenderamata, sesi bergambar serta demonstrasi penggunaan televisyen interaktif pelbagai sentuhan di bilik darjah Tahun 1D.-EDISI UKAS