PRO-DR 2026 Perkasa Akses Pendidikan, Kerjaya Belia Luar Bandar
KUCHING: Inisiatif Project of Dreams Realized (PRO-DR) 2026 terus memperkukuh usaha merapatkan jurang maklumat pendidikan dan kerjaya dalam kalangan belia luar bandar di Sarawak melalui pendekatan jerayawara bergerak yang inklusif dan menyeluruh.
Program anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) itu akan berlangsung selama 29 hari merentasi 14 daerah, sekali gus berfungsi sebagai pusat sehenti yang membawa peluang pengajian tinggi, latihan kemahiran serta prospek kerjaya terus ke komuniti setempat.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, program tersebut merupakan platform terbaik untuk pelajar, lepasan sekolah dan komuniti mendapatkan maklumat secara langsung daripada institusi pengajian tinggi, penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri.
“Program ini merupakan platform terbaik untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada institusi pengajian tinggi, penyedia TVET dan pemain industri, termasuk peluang pembiayaan serta bantuan kewangan pendidikan.
“Gunakan peluang ini untuk merancang hala tuju pendidikan dan memahami keperluan dunia pekerjaan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Beliau turut menyeru masyarakat agar memanfaatkan peluang tersebut kerana masa depan bergantung kepada keputusan yang dibuat hari ini.
PRO-DR 2026 dirangka selaras dengan perubahan landskap pekerjaan global yang dipacu oleh teknologi, automasi dan ekonomi digital, sekali gus memberi pendedahan awal kepada belia mengenai laluan pendidikan dan kerjaya yang relevan.
Melalui program ini, peserta berpeluang mengenal pasti laluan pendidikan bersesuaian, mendapatkan maklumat bantuan kewangan, memahami keperluan industri serta membina keyakinan dalam merancang masa depan.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk Ekspo Pendidikan dan Kerjaya yang menghimpunkan 41 reruai, pameran teknologi masa depan, pameran hands-on STEM serta pameran Planetarium Sultan Iskandar.
Program ini juga dimeriahkan dengan aktiviti interaktif seperti pertandingan TVET Masters, cabaran e-sukan, kuiz interaktif, permainan matematik serta cabutan bertuah mega.
Turut diadakan ialah sesi ceramah dan seminar khas merangkumi inisiatif pendidikan percuma kerajaan Sarawak, penerokaan kerjaya, motivasi pelajar serta perkongsian industri minyak dan gas.
PRO-DR 2026 menyasarkan pelajar SPM dan STPM, lepasan sekolah, belia luar bandar, ibu bapa, guru, kaunselor serta komuniti setempat, sejajar dengan usaha memperkukuh pembangunan inklusif dan melahirkan modal insan berkualiti di Sarawak.-EDISI UKAS