Naik Taraf Jalan Pertanian Kampung Labak Tungan Bakal Tingkat Kemudahan Penduduk
SERIAN: Projek Naik Taraf Jalan Pertanian di Kampung Labak Tungan yang dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 dijangka meningkatkan kemudahan infrastruktur serta memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya dalam memudahkan urusan pengangkutan hasil pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan pembangunan yang seimbang dapat dinikmati oleh masyarakat luar bandar.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa komited memastikan rakyat di kawasan luar bandar turut menikmati pembangunan infrastruktur yang berkualiti.
“Projek ini melibatkan kos sebanyak RM150,000 dan dilaksanakan oleh Syarikat SL Bumiputera Bersatu,” katanya ketika menghadiri majlis taklimat dan penyerahan tapak projek tersebut pada Khamis.
John turut menyeru penduduk setempat agar memberikan kerjasama kepada pihak kontraktor dan agensi pelaksana sepanjang tempoh pembinaan bagi memastikan projek berjalan lancar demi manfaat bersama.
Turut hadir dalam sesi penyerahan projek ialah Jurutera Awam Majlis Daerah Serian Mirulyana Syafinaz Mos, Ahli Majlis Daerah Serian Kaunselor Saidin dan Ketua Kampung Labak Tungan Derald Kuwang Sako.-EDISI UKAS