Program Strategic Relations Perkukuh Budaya Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Budaya kualiti dan kecemerlangan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak terus diperkasa menerusi penganjuran Program Strategic Relations bersama Chief Transformation Officer (CTO) dan Transformation Officer (TO) yang menghimpunkan seramai 120 pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.
Program anjuran Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak pada Rabu itu menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama serta perkongsian ilmu antara CTO dan TO di seluruh perkhidmatan awam negeri.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee yang menegaskan transformasi merupakan satu keperluan bagi memastikan sektor awam kekal relevan, responsif dan berupaya menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
Menurut beliau, peranan CTO dan TO amat signifikan sebagai pemacu utama yang menghubungkan aspirasi transformasi kerajaan dengan pelaksanaan di peringkat agensi.
“CTO dan TO bukan sekadar menyelaras pelaksanaan program atau menyediakan laporan, sebaliknya perlu menjadi agen perubahan yang mampu mempengaruhi budaya kerja organisasi, menggalakkan inovasi serta memacu penambahbaikan secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan pegawai terlibat untuk terus meningkatkan kompetensi melalui latihan, kursus serta pensijilan profesional dalam bidang berkaitan seperti Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015, Regulatory Impact Analysis (RIA), Business Process Reengineering (BPR) dan pengurusan prestasi organisasi.
Tambah beliau, setiap pelaburan dalam pembangunan kapasiti tersebut perlu diterjemahkan kepada peningkatan keupayaan agensi melalui perkongsian ilmu, bimbingan serta pelaksanaan projek penambahbaikan yang memberi impak kepada rakyat.
Program bertemakan “Empowering Quality Culture” itu turut diserikan dengan sesi forum yang menampilkan sembilan panel daripada pelbagai inisiatif transformasi dan kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak.
Antara topik yang diketengahkan termasuk Sarawak Civil Service One Team Retreat (SCS OTR), Key Focus Activities 2.0 (KFA 2.0), Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES), Sarawak Civil Service Folio (SCS-FOLIO), Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015, Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSIMon), Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK), SCS Scorecard, Kelestarian Inovasi (SCS-NEXT) serta Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS).
Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara CTO dan TO sekali gus memastikan pelaksanaan inisiatif transformasi dan kualiti di setiap agensi berjalan lebih berkesan, selaras dengan usaha memperkasakan budaya kecemerlangan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.-EDISI UKAS