92 SJKC Di Sarawak Kini Nikmati Kemudahan Bilik Darjah Pintar
MIRI: Sebanyak 92 daripada 182 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sarawak kini telah dilengkapi kemudahan Bilik Darjah Pintar sebagai sebahagian usaha memperkasakan transformasi pendidikan digital di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, penggunaan teknologi digital dalam bilik darjah bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi menyediakan pelajar menghadapi cabaran dunia yang semakin dipacu teknologi.
Menurutnya, baki sekolah yang belum memenrima Bilik Darjah Pintar akan terus diusahakan oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Gabungan Lembaga Pengurus Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bantuan Sarawak.
"Kerajaan Sarawak bersama Gabungan Lembaga Pengurus Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bantuan Sarawak akan terus berusaha memperluaskan pelaksanaan inisiatif tersebut agar lebih banyak sekolah dapat menikmati manfaat pendidikan digital pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bilik Darjah Pintar di SJKC Chung Hua Krokop, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, pendidikan merupakan antara keutamaan utama Kerajaan Sarawak dalam membangunkan modal insan yang mampu bersaing pada masa hadapan.
Tegasnya, Sarawak bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi, malah terus melabur dalam sektor pendidikan bagi memastikan generasi muda memperoleh peluang pembelajaran yang terbaik.
Sementara itu dalam ucapan aluan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata SJKC Chung Hua Krokop merupakan satu-satunya sekolah di Miri yang menerima empat set papan putih interaktif pintar dan unit pengajaran bersepadu menerusi program tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa SJKC Chung Hua Krokop telah menerima lebih RM700,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pelbagai kerja naik taraf termasuk pembaikan bilik darjah, dewan sekolah, pejabat guru, perpustakaan, jalan berturap dan sistem perparitan.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Presiden Gabungan Lembaga Pengurus Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bantuan Sarawak Datuk Jonathan Chai Voon Tok serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS