PETRONAS Santuni 250 Penerima Sempena Gawai Di Bukit Goram
KAPIT: Seramai 250 penerima dalam kalangan komuniti kurang berkemampuan menerima bantuan bakul makanan asas menerusi Program PETRONAS Memacu Kehidupan Gawai 2026 yang diadakan di Rumah Bundong, Bukit Goram, pada Khamis.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Program seperti ini amat bermakna kerana bukan sahaja membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, malah memperkukuh semangat kebersamaan, perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut.
Jelasnya, sambutan Hari Gawai bukan sekadar perayaan kesyukuran, malah merupakan lambang warisan budaya, identiti serta perpaduan masyarakat Sarawak yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Tambah beliau, kerjasama erat antara kerajaan, syarikat korporat dan komuniti setempat merupakan kunci utama dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Program anjuran PETRONAS dengan kerjasama Pejabat Daerah Kapit itu turut menyaksikan penyerahan simbolik bantuan bakul makanan kepada penerima yang dikenal pasti melalui Sistem e-Kasih.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan cek Program Mesra Rakyat (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Rumah Bundong bagi menyokong keperluan dan pembangunan komuniti setempat.
Hadir sama Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan PETRONAS Khairuddin Mohd Jaafar, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Alvin Runggah Jimbun, Mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Ambrose Abong Bugek, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak Norazibah Md Rabu, Pengurus Besar Kanan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG Abang Jimmy Abang Mordian serta Tuai Rumah Bundong Tajok. -EDISI UKAS