KUCHING: Penganjuran Samarahan Bike Challenge (SBC) 2026 yang memasuki edisi ke-10 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara berbasikal kriterium utama di Sarawak, selain berperanan memperkasakan pelancongan sukan, mencungkil bakat atlet muda serta merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejayaan acara itu dianjurkan secara konsisten selama sedekad membuktikan komitmen penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan Samarahan Bike Challenge kekal relevan dan mendapat sambutan komuniti berbasikal dari dalam serta luar Sarawak.
Menurut beliau, perlumbaan yang akan berlangsung pada 28 Jun ini di hadapan The Summer Shopping Mall, Kota Samarahan merupakan antara acara yang disenaraikan dalam Calendar of Events Sarawak 2026 hasil kerjasama Pejabat Daerah Samarahan, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak serta Persatuan Berbasikal Sarawak.
Katanya, penganjuran cabaran ini bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan sukan, malah turut menyumbang kepada ekonomi setempat apabila meningkatkan permintaan terhadap sektor perhotelan, restoran, pengangkutan, perusahaan kraf dan perniagaan tempatan melalui kehadiran atlet, pegawai, kru serta penyokong.
“Pulangan daripada penganjuran acara seperti ini mungkin tidak kembali secara langsung kepada kerajaan, namun manfaatnya dirasai oleh industri dan komuniti setempat melalui limpahan aktiviti ekonomi,” katanya pada sidang media Samarahan Bike Challenge 2026 di Bangunan Baitulmakmur pada Jumaat.
Justeru ujarnya, kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan sukan berbasikal sebagai platform melahirkan atlet muda yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi, selaras aspirasi menjadikan Sarawak sebagai hab sukan atau sport powerhouse di rantau ini.
Katanya, perkembangan sukan berbasikal di Sarawak kini semakin membanggakan apabila dua atlet basikal bukit negeri sedang mewakili Malaysia di Uzbekistan, manakala atlet trek Sarawak turut mencipta kejayaan dengan meraih enam pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Trek Kebangsaan baru-baru ini.
Samarahan Bike Challenge 2026 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM27,750 membabitkan lapan kategori iaitu Men Open, Sarawak Closed, Masters A, Masters B, Junior, Youth Men, Youth Women dan Women Open. Edisi kali ini turut mengembalikan kategori Masters A dan Masters B bagi menggantikan kategori Veteran.
Sehingga kini, seramai 153 peserta telah mendaftar melibatkan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Kanada dan New Zealand, dengan pendaftaran masih dibuka sehingga 27 Jun.
Sehubungan itu, Dato Sri Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut mengajak orang ramai hadir memberi sokongan kepada para pelumba pada hari pertandingan, selain berharap penganjuran SBC akan terus menjadi platform melahirkan lebih ramai atlet berbasikal berprestasi tinggi serta memacu pembangunan ekonomi dan pelancongan sukan di Samarahan.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat serta Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak, Irawan Datu Sudarsono. - EDISI UKAS