Penanaman Bakau, Pelepasan Benih Ikan Perkukuh Kelestarian Sumber Perikanan Lawas
LAWAS: Sebanyak 800 anak pokok bakau serta 4,500 benih ikan siakap dilepaskan sempena Program Penanaman Benih Bakau dan Pelepasan Benih Ikan di bawah Ecosystem Approach for Fisheries Management (EAFM) Lawas 2026
sebagai usaha memperkukuh pemuliharaan ekosistem marin dan menjamin kelestarian sumber perikanan di daerah ini.
Ketua Wilayah Perikanan III Miri, Saini Suliansa berkata, kedua-dua inisiatif itu dilaksanakan secara serentak kerana saling melengkapi dalam memastikan keseimbangan ekosistem perairan, memandangkan habitat bakau berfungsi sebagai kawasan perlindungan, pembiakan dan sumber makanan kepada anak-anak ikan sebelum membesar di habitat semula jadi.
Beliau berkata, pelepasan benih ikan perlu disusuli dengan usaha memelihara habitatnya agar sumber perikanan dapat terus dikekalkan untuk manfaat generasi akan datang.
“Apabila kita melepaskan benih ikan, kita juga perlu memastikan habitatnya terus dipelihara. Sebab itu aktiviti pelepasan benih ikan dan penanaman bakau saling melengkapi dalam usaha memulihara sumber perikanan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Hutan Simpan Kayangeran, pada Khamis.
Menurut beliau, walaupun jumlah 800 pokok bakau yang ditanam dilihat kecil berbanding keluasan kawasan hutan simpan, usaha tersebut mampu memberi impak besar dalam jangka panjang selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memulihara alam sekitar.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif di bawah pelan tindakan EAFM Lawas yang memberi penekanan kepada penglibatan komuniti serta perkongsian ilmu berkaitan pengurusan sumber perikanan secara mampan.
Menurutnya, aktiviti penanaman bakau bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar, malah memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai kepentingan mengekalkan keseimbangan ekosistem.
“Bakau bukan sahaja penting kepada sektor perikanan, tetapi turut menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar secara menyeluruh,” ujarnya.
Program anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak dan CENTEXS Lawas itu turut melibatkan penyertaan kira-kira 60 pelajar CENTEXS Lawas yang diberi pendedahan mengenai kepentingan pemuliharaan sumber semula jadi sebagai usaha melahirkan generasi yang lebih peka terhadap kelestarian alam sekitar.
Pada majlis sama, Jabatan Perikanan Laut Sarawak turut menyerahkan 63 unit jaket keselamatan kepada nelayan berlesen di daerah Lawas bagi meningkatkan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan di laut.
Program EAFM Lawas yang kini memasuki tahun ke-13 pelaksanaannya terus menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, komuniti nelayan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat ke arah memastikan kelestarian sumber perikanan negara dapat dipelihara secara berterusan.- EDISI UKAS