KPM Digesa Perkukuh Peruntukan Bagi Laksana Dasar Pendidikan Digital
BINTANGOR: Kementerian Pendidikan digesa menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital dapat direalisasikan secara berkesan, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pelaksanaan agenda pendigitalan pendidikan memerlukan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi termasuk komputer, projektor LED dan pelbagai peralatan sokongan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Jika kerajaan mahu menjayakan Dasar Pendidikan Digital, maka kementerian perlu menyediakan dana yang besar untuk menggerakkan dasar tersebut.
“Jangan hanya memperkenalkan polisi yang baik, tetapi gagal menyediakan keperluan asas bagi melaksanakannya,” katanya ketika berucap pada Program Pengrami Gawai di Sekolah Kebangsaan Mupong, di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Abdullah turut menggesa kementerian memberi perhatian terhadap kekurangan dana yang dihadapi sekolah bagi melaksanakan aktiviti kokurikulum, sosial dan sukan, terutama di kawasan pedalaman.
Menurutnya, selain isu keadaan fizikal sekolah yang daif, aspek pembangunan pelajar melalui aktiviti luar bilik darjah turut memerlukan sokongan kewangan yang mencukupi.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu lagi, aktiviti kokurikulum memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana persekolahan yang lebih ceria serta membantu membentuk pelajar yang berdaya tahan, berkeyakinan dan mempunyai kemahiran sosial yang baik.
Tambahnya, ramai guru yang berdedikasi mempunyai pelbagai idea kreatif untuk melaksanakan program pembangunan pelajar, namun sebahagian daripadanya tidak dapat direalisasikan akibat kekangan peruntukan.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memberi perhatian yang lebih menyeluruh terhadap keperluan sebenar sekolah dengan memperkukuh kemudahan fizikal, meningkatkan dana kokurikulum serta menyediakan peruntukan secukupnya bagi menjayakan agenda pendidikan digital negara.-EDISI UKAS