SKS 2026 Di Kapit Buka Tirai, Tampilkan Pelbagai Pengisian Dekati Rakyat
KAPIT: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kapit membuka tirainya hari ini dengan pelbagai pengisian yang memfokuskan penyampaian perkhidmatan kerajaan, pembangunan komuniti serta pengukuhan hubungan antara kerajaan dan rakyat sepanjang penganjuran tiga hari program tersebut.
Majlis Pra Pelancaran disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di perkarangan Dewan Suarah Kapit.
Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Sarawak Pavilion & Services serta Kapit Kitchen & Sales sebelum meluangkan masa meninjau pameran pembangunan Bahagian Kapit, reruai jabatan dan agensi kerajaan, gerai jualan produk serta kraf tangan usahawan tempatan, di samping menyampaikan apron kepada para peniaga.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat, ADUN Katibas, Lidam Assan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Kapit, Elvis Didit serta tetamu lain.
Seawal jam 9 pagi, orang ramai mula membanjiri tapak program dengan pembukaan Kapit Kitchen & Sales dan Sarawak Pavilion & Services yang menghimpunkan pameran utama, kaunter perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan serta pendaftaran e-Peraduan.
Hari pertama turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti mesra komuniti termasuk pertandingan mewarna, pertandingan memasak dan sukaneka rakyat yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Pada sebelah malam, pengunjung disajikan dengan Malam Budaya Sarawak yang mengetengahkan persembahan pelbagai etnik sebagai simbol keharmonian, perpaduan dan kekayaan warisan budaya negeri.
Majlis Perasmian SKS 2026 Bahagian Kapit dijadual berlangsung pada Sabtu dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Premier Sarawak turut dijadual mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan di Kapit, termasuk Kampung Baru Kapit, Projek Naik Taraf Sekolah Daif SK Kampung Baru Kapit yang siap sepenuhnya pada November 2025, selain menerima taklimat mengenai Pelan Induk (Masterplan) Lapangan Terbang Lama Kapit oleh RECODA.
Pengisian hari kedua diteruskan dengan pertandingan Street Soccer, pertandingan e-Sukan, cabutan hadiah e-Peraduan serta Konsert Rakyat yang dijangka menjadi antara acara kemuncak dengan kehadiran ribuan pengunjung.
Pada hari terakhir, program dimulakan dengan SKS Fun Walk 3 Kilometer, SKS Fun Run 3 Kilometer dan senamrobik bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Turut berlangsung ialah pertandingan sukan tradisional seperti tarik tali dan menyumpit sebelum program melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penangguhan yang akan disempurnakan oleh Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Majlis penangguhan itu turut menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah utama e-Peraduan kepada para pemenang.
Program Sarawakku Sayang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh hubungan dengan rakyat menerusi penyampaian perkhidmatan secara terus, selain menjadi platform penyebaran maklumat mengenai dasar, inisiatif serta agenda pembangunan negeri.
Melalui penganjuran ini, masyarakat berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung, berurusan secara terus dengan agensi berkaitan, memperoleh maklumat mengenai bantuan dan inisiatif kerajaan serta mengemukakan pandangan kepada agensi yang terlibat.
Kejayaan penganjuran SKS di lokasi terdahulu membuktikan keberkesanan program tersebut dalam mendekati rakyat dengan kehadiran keseluruhan seramai 16,917 pengunjung di Limbang, 24,076 pengunjung di Miri dan sambutan memberangsangkan di Bintulu.- EDISI UKAS