Jalan Hubungkan Sembilan Rumah Panjang Siap, Fasa Kedua Menyusul
BINTANGOR: Projek pembinaan jalan yang menghubungkan sembilan rumah panjang di kawasan Mupong Tengah telah siap dilaksanakan dengan kos RM400,000 bagi meningkatkan kemudahan perhubungan dan akses penduduk di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, kerajaan turut merancang pelaksanaan fasa kedua projek itu yang melibatkan kerja-kerja penurapan jalan dengan anggaran kos RM450,000.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam mempertingkatkan kemudahan asas di kawasan luar bandar serta memenuhi keperluan penduduk rumah panjang.
"Projek yang dilaksanakan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk luar bandar," katanya ketika berucap pada pada Majlis Ngabang Gawai Dayak N.42 Semop, pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah berkata, program Ngabang Gawai Dayak merupakan sebahagian daripada siri jelajah selama tujuh hari di seluruh kawasan DUN Semop.
Sepanjang tempoh tersebut, menurutnya, sebanyak 14 program dianjurkan dengan penyertaan masyarakat daripada lebih 50 rumah panjang di kawasan berkenaan.
Dalam majlis sama, Datuk Abdullah turut menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM60,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Preddy.
Manakala RM50,000 lagi disalurkan kepada JKKK Rumah Umboh bagi membaiki dan menaik taraf jalan menuju ke jeti rumah panjang masing-masing demi keselesaan dan kemudahan penduduk.
Selain itu, JKKK Rumah Seli menerima peruntukan RM15,000 bagi pembinaan rumah memasak, manakala 12 JKKK rumah panjang turut menerima peruntukan berjumlah RM495,000 di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).-EDISI UKAS