Hospital Lundu Diperkasa Dengan Naik Taraf Infrastruktur RM600,000
LUNDU: Kemudahan kesihatan di Hospital Lundu bakal dipertingkat menerusi peruntukan RM600,000 yang diumumkan bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur, sekali gus meningkatkan keselesaan pesakit, pelawat dan petugas kesihatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, peruntukan itu disalurkan bagi menaik taraf kemudahan hospital yang telah beroperasi sejak 1965, termasuk membaik pulih jalan dalaman yang dikenal pasti sebagai antara keutamaan untuk ditangani.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Gawai anjuran Komuniti Dayak Hospital Lundu di Gelanggang Tenis Hospital Lundu, pada Khamis.
Menurut beliau, usaha menaik taraf kemudahan tersebut penting bagi memastikan hospital terus mampu menyediakan persekitaran yang selamat, kondusif dan berkualiti kepada masyarakat yang mendapatkan rawatan.
Katanya, keperluan membaik pulih infrastruktur itu dibangkitkan oleh Pengarah Hospital Lundu Dr Shi How, susulan keadaan jalan di kawasan hospital yang memerlukan tindakan segera demi keselamatan pengguna.
Dalam pada itu, Azizul Annuar menegaskan komitmennya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar untuk terus memperjuangkan pembinaan bangunan baharu Hospital Lundu melalui Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, tapak bagi cadangan pembinaan hospital baharu telah dikenal pasti dan usaha susulan akan diteruskan bagi memastikan kemudahan kesihatan yang lebih moden serta mampu memenuhi keperluan penduduk daerah Lundu dapat direalisasikan.
Pada majlis sama, beliau turut meluluskan peruntukan RM20,000 melalui Lembaga Pelawat Hospital bagi pembelian peralatan Interferential Current (IFC) untuk Unit Fisioterapi Hospital Lundu, sebagai usaha memperkukuh perkhidmatan rehabilitasi kepada pesakit.
Turut hadir Pengarah Hospital Lundu Dr Shi How serta Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Daerah Lundu Yap Ering.— EDISI UKAS