Hampir RM17 Juta Diperuntukkan Bagi Projek Tapak Pelupusan Sanitari Di Lundu
LUNDU: Kecekapan pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar ditingkatkan menerusi pelaksanaan Projek Pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Lundu bernilai hampir RM17 juta yang bakal menyediakan sistem pelupusan sanitari lebih moden, sistematik dan mesra alam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kemudahan tersebut bukan sahaja akan memenuhi keperluan penduduk di Lundu, malah turut menyokong pengurusan sisa pepejal bagi kawasan Bau dan kawasan sekitarnya.
Beliau berkata keperluan kepada sistem pelupusan sampah yang lebih moden semakin mendesak selaras dengan pertumbuhan penduduk, pembangunan kawasan perumahan, peningkatan aktiviti komersial serta perkembangan sektor pelancongan di Lundu dan Sematan.
“Projek ini bukan sahaja akan menyelesaikan isu berkaitan kapasiti tapak pelupusan sedia ada, malah membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebersihan, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan penduduk pada masa akan datang,” katanya semasa majlis penyerahan projek tersebut, di sini pada Jumaat.
Menurut maklumat projek, pembinaan yang bermula 11 Jun 2026 dan dijadualkan siap pada 11 September 2027 itu dilaksanakan dengan Majlis Daerah Lundu sebagai klien manakala Setiausaha Majlis Daerah Lundu bertindak sebagai Pegawai Penguasa.
Skop projek merangkumi kerja awalan, pembersihan tapak dan kerja tanah, pembinaan tapak pelupusan sanitari, sistem pengumpulan air larut resap, sistem pengumpulan gas, kolam anaerobik, ‘settling pond’, kerja-kerja infrastruktur, asas dan cerucuk, pembinaan jalan dalaman serta sistem saliran.
Sehubungan itu, Billy mengingatkan pihak kontraktor agar memastikan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi, jadual serta piawaian yang ditetapkan supaya dapat disiapkan dalam tempoh yang dirancang.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail. -EDISI UKAS