Keunikan SKS 2026 Kapit Terserlah Menerusi Penyertaan Usahawan Muda
KAPIT: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kapit tampil dengan keunikan tersendiri apabila menyaksikan penyertaan memberangsangkan usahawan muda yang mengetengahkan pelbagai produk hasil idea dan kreativiti mereka.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penyertaan golongan belia dalam program itu membuktikan minat serta potensi mereka dalam bidang keusahawanan semakin berkembang.
“Apa yang unik di Kapit pada kali ini berbanding dengan bahagian lain ialah ramai usahawan-usahawan muda yang hadir dengan idea mereka sendiri dalam bidang perniagaan.
“Kita mengucapkan tahniah kepada mereka atas kejayaan menampilkan produk dalam pelbagai bidang perniagaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Program SKS 2026 Bahagian Kapit di Dewan Suarah Kapit pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau optimis penganjuran SKS 2026 Bahagian Kapit mampu menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung.
“Dengan aktiviti-aktiviti yang kita anjurkan seperti pameran, Konsert Rakyat, Kapit Kitchen, cabutan bertuah dan juga gerai-gerai jualan, kita menjangkakan lebih 10,000 orang ramai akan hadir memeriahkan program pada kali ini.
“Selain itu, majlis perasmian yang akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu ini turut dijangka dihadiri seramai 3,000 hingga 5,000 orang ramai,” tambahnya.
Program SKS 2026 Bahagian Kapit berlangsung dari 26 hingga 28 Jun dengan pelbagai pengisian termasuk pameran agensi kerajaan, jualan usahawan tempatan, Kapit Kitchen, Konsert Rakyat, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat. -EDISI UKAS