BAU: Penduduk di kawasan Serembu kini menikmati akses perhubungan yang lebih baik dengan siapnya projek menaik taraf dan pembinaan baharu Jalan Kopit-Segubang bernilai RM1.7 juta di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Projek sepanjang 1.5 kilometer itu diserahkan secara rasmi dalam satu majlis yang disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh di Kampung Kopit pada Khamis.
Siap selepas kira-kira setahun pembinaan, jalan baharu tersebut meningkatkan kelancaran pergerakan penduduk, khususnya di kawasan Kampung 5S, selain memudahkan akses ke Kuching dan Siniawan.
Kemudahan itu dijangka turut merangsang pembangunan sosioekonomi setempat serta membuka potensi kepada pembangunan penempatan baharu sejajar dengan pertumbuhan kawasan Serembu.
Dalam pada itu, Dato Miro berkata, Kerajaan Sarawak akan terus mempergiat pelaksanaan projek pembangunan menerusi GKCDA secara berperingkat bagi memperkukuh infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, penyediaan jaringan jalan yang lebih berkualiti bukan sahaja mempertingkatkan ketersambungan antara komuniti, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar yang lebih mampan dan inklusif.
Pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara menyeluruh agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Bau Danny Ngumbang, Penghulu Kawasan Serembu Ranit Rujah serta wakil Majlis Daerah Bau.-EDISI UKAS