Sarawak Percepat Pembinaan Velodrom Baharu, Tapak Strategik Telah Dikenalpasti
KUCHING: Kerajaan negeri akan mempercepatkan perancangan pembinaan pusat Velodrom Sarawak selepas tapak strategik berhampiran Kompleks Sukan Sarawak yang sebelum ini diperuntukkan kepada Kerajaan Persekutuan dikembalikan kepada kerajaan negeri bagi pembangunan kemudahan sukan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tapak berkenaan pada asalnya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan sebagai sebahagian daripada perancangan penempatan kemudahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Samarahan, namun pembangunan tersebut tidak diteruskan.
Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini telah menyerahkan kira-kira 68 hektar tanah bagi tujuan pembangunan kemudahan keselamatan, namun apabila rancangan tersebut tidak dilaksanakan, tanah itu diambil semula untuk dimanfaatkan bagi pembangunan kemudahan sukan yang lebih komprehensif.
“Lokasi ini sangat strategik kerana berada bersebelahan Kompleks Sukan Sarawak, sekali gus membolehkan pelbagai fasiliti sukan dibangunkan dalam satu kawasan bersepadu,” katanya pada sidang media Samarahan Bike Challenge di Bangunan Baitulmakmur di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, antara cadangan pembangunan di kawasan itu termasuk pembinaan velodrom bertaraf antarabangsa, kemudahan sukan berbasikal serta beberapa fasiliti sukan lain yang mampu menyokong penganjuran kejohanan sukan berskala besar pada masa hadapan.
Tambahnya, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mewujudkan hab sukan bersepadu yang menghimpunkan pelbagai kemudahan bertaraf tinggi di satu lokasi, sekali gus memperkukuh keupayaan Sarawak menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa.
Dato Sri Abdul Karim menambah, cadangan pembinaan velodrom itu telah dibentangkan kepada kepimpinan tertinggi negeri dan menerima maklum balas yang positif.
Mengenai kos projek, beliau berkata jumlah sebenar hanya dapat ditentukan selepas reka bentuk dimuktamadkan, kelulusan diperoleh dan kontraktor dilantik.
Namun, beliau menganggarkan kos pembinaannya lebih rendah berbanding stadium berskala besar yang lazimnya menelan belanja antara RM300 juta hingga RM400 juta.
Katanya, pembangunan kemudahan baharu itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai hab sukan serantau di samping menyokong usaha jangka panjang kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Julin Alen serta Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA), Irawan Datu Sudarsono.- EDISI UKAS