Karnival Sukan PESKO-104 Perkukuh Pembangunan Mahasiswa Holistik UiTM Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Karnival Sukan sempena Pesta Konvokesyen (PESKO) Ke-104 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa holistik menerusi pembudayaan gaya hidup sihat, semangat kesukanan dan kepimpinan dalam kalangan warga kampus.
Program yang berlangsung di Kompleks Sukan UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan pada Selasa itu menghimpunkan penyertaan pelajar daripada pelbagai fakulti dan organisasi kampus dalam beberapa acara sukan kompetitif yang menjadi antara pengisian utama PESKO-104.
Karnival tersebut bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat sukan mahasiswa, malah berperanan memupuk nilai disiplin, kerjasama berpasukan, daya tahan serta semangat daya saing yang penting dalam melahirkan graduan berdaya saing dan seimbang.
Antara pasukan yang menyerlah pada kejohanan itu ialah NUCMD yang muncul juara acara Frisbee Mix 5v5 selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang pertandingan.
Bagi acara Netball Shoot Out, pasukan MOMEDO berjaya menjuarai pertandingan selepas menewaskan SHOOTERS menerusi penentuan Sudden Death, manakala HOTSHOT menduduki tempat ketiga.
Dalam acara Football Penalty Shoot Out pula, DN SKUNTAP muncul juara selepas menewaskan WIN CLUB di pentas akhir, sementara ERUDITE melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
Kemeriahan karnival diteruskan menerusi penganjuran Convo Night Run 2026 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus, sekali gus menyemarakkan budaya hidup aktif dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.
Penganjuran Karnival Sukan PESKO-104 mencerminkan komitmen berterusan UiTM Cawangan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh menerusi keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kecergasan fizikal, pembinaan sahsiah serta pembangunan kepimpinan, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan yang holistik, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.— EDISI UKAS