SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pemuliharaan warisan apabila mencadangkan Gereja Anglikan Saint Paul di Banting, Lingga diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 bagi memastikan khazanah bersejarah negeri terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, gereja yang dibina pada 1859 itu memiliki nilai sejarah dan warisan yang tinggi, sekali gus wajar diberikan pengiktirafan rasmi bagi menjamin pemuliharaan serta perlindungannya secara berterusan.
Menurut beliau, pewartaan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 akan melindungi gereja berkenaan daripada pembangunan yang tidak terkawal, di samping memperkukuh identiti budaya masyarakat setempat dan memperkaya aset warisan negeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau Ngiling Tikai Gawai Dayak Daerah Pantu di Dewan Suarah Sri Aman, pada Khamis.
Tambah beliau, usaha tersebut turut membuka ruang kepada komuniti setempat untuk terlibat secara langsung dalam pemuliharaan dan pemeliharaan warisan, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga khazanah sejarah.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan proses pewartaan hanya dapat diteruskan selepas memperoleh persetujuan daripada pihak Gereja Anglikan, khususnya Biskop Gereja Anglikan Sarawak dan Brunei.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Pejabat Daerah Pantu bagi menyokong penganjuran program kemasyarakatan dan kebudayaan, manakala Ahli Parlimen Sri Aman, Doris Sophia Brodi menerusi wakilnya menyampaikan sumbangan RM10,000.
Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Daerah Pantu Raca Mulong, Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam, wakil Pegawai Daerah Sri Aman Joshua Martin Jantan serta wakil Pegawai Daerah Lingga Nurshazani Fadli Salihin.— EDISI UKAS